Oleh Nur Syahidayah Mahasan
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Malaysia wajar mengekalkan komitmennya dalam misi pengaman di selatan Lubnan walaupun ketegangan di wilayah itu dilaporkan semakin memuncak susulan konflik antara Israel dan Hizbullah.
Pakar geostrategi Prof Dr Azmi Hassan berkata dalam konteks konflik di Asia Barat, kehadiran pasukan pengaman antaranya pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) berperanan sebagai penghalang bagi mengurangkan risiko serangan berterusan.
Beliau berkata contohnya jika terdapat keputusan gencatan senjata, biasanya kehadiran tentera pengaman amat diperlukan kerana jika pihak bertelagah, termasuk Amerika Syarikat, Israel dan Iran, bersetuju, tentera pengaman akan ditempatkan di sempadan atau kawasan konflik.
“Kehadiran mereka sebagai penahan bagi menghalang sebarang serangan lanjutan, termasuk di lokasi-lokasi strategik seperti bandar Tehran, loji nuklear dan simpanan minyak Iran.
“Dengan cara ini, tentera pengaman PBB membantu mengekang risiko serangan tercetus semula dan mengekalkan kestabilan di kawasan kritikal,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata Malaysia sebelum ini turut memainkan peranan aktif dalam misi pengaman di beberapa kawasan konflik termasuk di Lubnan, Mindanao dan Republik Demokratik Congo di bawah mandat Majlis Keselamatan PBB.
“Malaysia antara negara yang terkehadapan dalam menyumbang anggota serta peralatan ketenteraan bagi misi pengaman di bawah mandat PBB,” katanya.
Azmi berkata penyertaan MALBATT juga penting bagi menunjukkan komitmen negara terhadap mandat keamanan antarabangsa.
“Penting bagi Malaysia mengekalkan komitmen di Lubnan ini kerana ia memberi gambaran bahawa walaupun kita sebuah negara kecil, Malaysia boleh diharapkan untuk menyediakan pasukan pengaman yang dimandatkan PBB,” katanya.
Beliau berkata situasi tegang di kawasan operasi UNIFIL bukan sesuatu yang baharu kerana pasukan pengaman Malaysia sebelum ini juga pernah berdepan keadaan genting namun masih mampu meneruskan misi mereka.
Beliau berkata sebarang keputusan untuk menarik keluar MALBATT atau menukar penempatan pasukan pengaman, tidak boleh dibuat secara unilateral oleh Malaysia kerana mandat operasi itu terletak di bawah Majlis Keselamatan PBB.
“Dalam hal ini, keputusan untuk berundur atau keluar dari selatan Lubnan terletak sepenuhnya di tangan Majlis Keselamatan PBB dan bukan keputusan yang boleh dibuat oleh Malaysia secara bersendirian,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Utara Malaysia Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata tahap risiko keselamatan kepada anggota pasukan pengaman termasuk MALBATT sememangnya meningkat ketika konflik antara Israel dan Hizbullah memuncak.
Bagaimanapun, beliau berkata kedua-dua pihak bertelagah lazimnya mengetahui lokasi penempatan pasukan pengaman PBB yang terdiri daripada anggota pelbagai negara.
Beliau berkata peranan utama UNIFIL di kawasan sempadan ialah bertindak sebagai zon penampan bagi mengelakkan pertembungan langsung antara kedua-dua pihak selain menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk terjejas akibat konflik.
“Pasukan pengaman ini bertindak sebagai penampan di kawasan sempadan bagi mengelakkan konflik daripada melarat, selain membantu penduduk yang terjejas di kawasan berkenaan.
“Namun dalam keadaan konflik bersenjata seperti penggunaan roket atau dron, ada kemungkinan pasukan pengaman turut terdedah kepada risiko terkena tempias serangan walaupun mereka bukan sasaran langsung,” katanya.
Mohd Azizuddin berkata setakat ini keadaan masih dianggap terkawal selagi tiada pencerobohan darat merentasi sempadan, namun anggota pengaman perlu sentiasa berwaspada terhadap perkembangan semasa.
Sebelum ini, pasukan MALBATT 850-13 yang sedang melaksanakan misi pengamanan di bawah UNIFIL di selatan Lubnan memaklumkan tahap kesediaan anggotanya terus dipertingkatkan merangkumi aspek keselamatan, kesiapsiagaan operasi, logistik serta koordinasi bersama pihak berkepentingan.
Menerusi kenyataan di Facebook, pasukan itu memaklumkan setiap anggota dilatih untuk bertindak secara profesional dan berdisiplin dalam apa jua situasi selaras dengan prinsip operasi pengaman di bawah panji UNIFIL.
Menurut laporan media antarabangsa, serangan udara Israel ke atas Lubnan sejak 2 Mac lepas mengorbankan ratusan nyawa, susulan serangan rentas sempadan dengan Hizbullah.
Dalam perkembangan berkaitan, Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) melaporkan hampir 700,000 penduduk kehilangan tempat tinggal di seluruh Lubnan dalam tempoh lebih seminggu susulan konflik yang semakin meruncing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial