AM > BERITA

Ambil Langkah Waspada Ketika Riadah Di Kawasan Air Sempena Cuti Aidilfitri - KP Bomba

13/03/2026 04:23 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya menitikberatkan aspek keselamatan sekiranya ingin melakukan aktiviti riadah di kawasan air ketika cuti sempena Aidilfitri ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata statistik bagi tempoh 2018 hingga Januari 2026 menyaksikan 2,187 kejadian lemas dilaporkan di seluruh negara, dengan 56 peratus atau 1,196 kes daripadanya berlaku di kawasan sungai dan tali air.

"Tahun 2021 mencatatkan kes lemas tertinggi di sungai dan tali air dengan 193 kes, diikuti 2018 (182 kes),  2019 (133 kes), 2020 (150 kes), 2023 (165 kes), 2024 (180 kes), 2025 (156 kes) dan 11 kes setakat Januari tahun ini," katanya kepada Bernama.  

Beliau berkata bagi tempoh sama kawasan pantai merekodkan 578 kes kematian akibat lemas, diikuti tasik dan lombong (180 kes), air terjun dan jeram (165 kes), serta sistem pembentung (68 kes).

Nor Hisham berkata secara purata angka korban yang melibatkan kesemua kawasan berisiko itu adalah sekitar 270 kes setahun, sekali gus menjadikan kejadian mati lemas kekal sebagai isu keselamatan awam.

Beliau berkata tindakan orang ramai yang mengambil mudah risiko, kurang kemahiran berenang dan kegagalan memakai jaket keselamatan antara faktor menyumbang kepada kes lemas selain daripada faktor geografi luar jangka yang sukar diramal

"Sungai dan tali air mempunyai arus deras yang boleh berubah secara mendadak, terutama selepas hujan di kawasan hulu. Kedalaman air yang tidak sekata, kewujudan lubuk dalam, dasar berlumpur atau licin serta pusaran air yang tidak kelihatan dari permukaan meningkatkan lagi tahap risiko," katanya.  

Beliau berkata bagi kawasan pantai pula, fenomena arus karau (rip current) dan perubahan pasang surut air menjadi ancaman bahaya utama kepada pengunjung manakala di kawasan air terjun dan jeram pula, arus bawah yang kuat serta permukaan batu yang licin turut menjadi faktor penyumbang kepada kejadian lemas.

Noor Hisham berkata JBPM akan melaksanakan pemetaan semula kawasan berisiko tinggi berdasarkan kepada analisis data kes terdahulu bagi memastikan penugasan anggota dan rondaan berkala dilaksanakan secara lebih strategik sepanjang cuti Aidilfitri.

“Bagi memastikan keberkesanan operasi, JBPM akan meningkatkan kekerapan rondaan fizikal dan pemantauan berjadual pada waktu puncak dengan kerjasama balai bomba berhampiran, Pasukan Bomba Sukarela serta agensi keselamatan lain.

“JBPM juga akan melaksanakan pemantauan keadaan cuaca dan paras air secara berterusan bersama agensi teknikal untuk mengeluarkan nasihat keselamatan awal sekiranya berlaku amaran cuaca buruk,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan