AM > BERITA

Konflik Asia Barat: Malaysia Perlu Percepat Peralihan Tenaga - Akmal Nasrullah

15/03/2026 03:15 PM

JOHOR BAHRU, 15 Mac (Bernama) -- Malaysia perlu mempercepat peralihan tenaga mengikut Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) seperti solar dan hidro bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil sebagai sumber tenaga utama.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pelan peralihan tenaga itu bukan sahaja untuk mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil malah juga memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga domestik.

“Tenaga Boleh Baharu (TBB) mempunyai kelebihan kerana bersifat domestik justeru, tidak bergantung dari segi import bahan bakar dan tidak terganggu dari sudut rantaian bekalan tenaga secara keseluruhan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Jualan Rahmah Kasih Sayang di sini hari ini. 

Beliau mengulas saranan ahli akademik mengenai keperluan negara mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil sebagai sumber tenaga utama susulan konflik Asia Barat yang mengganggu bekalan minyak global dan mengakibatkan kenaikan harga. 

Beliau berkata Malaysia kini mempunyai kira-kira 25 peratus kapasiti terpasang daripada sumber boleh baharu dan sedikit daya tahan terhadap sebarang gangguan bekalan tenaga.

Kerajaan sentiasa menilai langkah untuk mempercepat proses peralihan tenaga selari dengan saranan pakar ekonomi dan akademik bagi memastikan negara lebih berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global.

Akmal Nasrullah berkata penggunaan TBB seperti solar, membolehkan Malaysia menjana tenaga secara berterusan selagi sumber semula jadi tersedia, sekali gus menyokong sasaran pelepasan sifar karbon dan kelestarian tenaga negara.

Konflik di Asia Barat kekal memuncak sejak 28 Februari lepas apabila Israel dan AS melancarkan serangan ke atas Iran yang kemudiannya mencetuskan serangan balas oleh Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.

Selat sempit yang terletak di antara Iran dan Oman itu merupakan antara laluan perkapalan paling penting di dunia bagi penghantaran minyak dan gas dengan sebahagian besar bekalan tenaga global melalui kawasan itu setiap hari.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan