AM > BERITA

MAFFI Sabah Beri Jaminan Bekalan Beras Cukup - Jamawi

15/03/2026 06:20 PM

KOTA KINABALU, 15 Mac (Bernama) -- Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah memberikan jaminan bekalan beras di negeri itu mencukupi dan berada pada tahap selamat.

Menterinya Datuk Jamawi Jaafar berkata setakat ini stok simpanan beras di Sabah mampu menampung keperluan rakyat negeri itu hingga sembilan bulan.

“Jika digabungkan dengan stok perdagangan, stok pemborong dan bekalan beras tempatan, jumlah keseluruhan bekalan beras di Sabah boleh bertahan dalam tempoh berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jamawi berkata demikian sebagai maklum balas mengenai isu kekurangan bekalan beras yang dilaporkan berlaku di beberapa daerah di Sabah sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata kementeriannya telah berhubung dengan Bernas Sabah, yang bertanggungjawab mengurus serta mengedarkan bekalan beras di negeri itu, bagi mendapatkan penjelasan mengenai situasi berkenaan.

Menurut agensi itu bekalan beras di Sabah mencukupi dan kekurangan bekalan dilaporkan berlaku di beberapa daerah hanya bersifat sementara.

“Bekalan beras untuk daerah-daerah tertentu yang mengalami kekurangan kini sedang dalam proses penghantaran oleh pembekal yang telah dilantik oleh Bernas,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak panik kerana kerajaan sentiasa memantau keadaan bekalan makanan asas di Sabah.

--  BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan