AM > BERITA

Geran Sejati MADANI Kini Untuk Pertubuhan Belia

15/03/2026 08:44 PM

MELAKA, 15 Mac (Bernama) -- Kerajaan memperluas pemberian geran Sejati MADANI tahun ini kepada pertubuhan-pertubuhan belia bagi membangunkan aktiviti keusahawanan yang berpotensi menjana pendapatan persatuan masing-masing.

Menteri Belia dan Sukan Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata sebanyak RM250 juta diperuntukkan kerajaan khusus untuk tujuan tersebut bagi menggalakkan persatuan belia menceburi aktiviti keusahawanan dalam pelbagai bidang.

“Dahulu, geran Sejati MADANI diberikan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan organisasi seumpamanya. Tahun ini, ia diperluaskan kepada pertubuhan-pertubuhan belia pula,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan peringkat negeri Melaka di Masjid Al-Abrar, Semabok, di sini hari ini.

Beliau berkata pihak Pendaftar Pertubuhan Belia (RoY) akan mengadakan jelajah ke seluruh negara bagi memberi taklimat kepada pertubuhan belia di seluruh negeri mengenai cara memohon geran tersebut.

Katanya pihaknya menyasarkan kira-kira 2,500 pertubuhan belia akan mengambil peluang untuk memanfaatkan pemberian geran tersebut pada tahun ini.

Hadir sama Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Datuk V.P. Shanmugam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan