AM > BERITA

360 Anggota PGA Kawal Sempadan Sempena Musim Perayaan

15/03/2026 10:16 PM

TUMPAT, 15 Mac (Bernama) -- Sebanyak 360 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa bertugas mengawal keselamatan sempadan sepanjang musim perayaan Aidilfitri bagi memastikan kawasan sempadan negara kekal selamat daripada aktiviti jenayah rentas sempadan.

Timbalan Komander PGA Briged Tenggara ACP Mohd Hazazi Othman berkata kesemua anggota berkenaan kini menumpukan kepada usaha membanteras aktiviti penyeludupan serta jenayah lain di kawasan sempadan.

Beliau berkata penugasan itu berlangsung selama 34 hari bermula sehari selepas Ramadan sebagai sebahagian daripada operasi penguatkuasaan di kawasan sempadan negara.

“Walaupun musim perayaan semakin hampir, anggota PGA tetap komited melaksanakan tugas bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja Ops Taring Wawasan Kelantan serta penyerahan kuih raya di Markas Taktikal (Martek) PGA Pengkalan Kubor, di sini hari ini.

Mohd Hazazi berkata lawatan itu turut bertujuan memberikan sokongan moral serta menyuntik semangat kepada anggota yang terpaksa berjauhan daripada keluarga ketika umat Islam lain menyambut Aidilfitri.

Sementara itu, Inspektor Afifah Yacob dari Batalion 8 PGA berkata tahun ini adalah antara pengalaman bertugas pada Aidilfitri sejak menyertai pasukan itu pada 2021.

Ibu kepada dua cahaya mata termasuk seorang bayi berusia sembilan bulan, yang menetap di Machang itu berkata komitmen tugas menuntut beliau sentiasa bersedia ditempatkan di kawasan sempadan walaupun bertugas di Kota Bharu.

“Walaupun ada rasa sedih kerana tidak dapat bersama keluarga pada hari raya, saya tetap kuatkan semangat kerana ini adalah tanggungjawab kepada negara,” katanya.

Bagi Sarjan Mohd Khairulnaim Ishak, 44, yang telah berkhidmat selama 17 tahun, beliau sudah melalui pengalaman menyambut Aidilfitri di sempadan sebanyak 10 kali.

Anak kelahiran Besut itu berkata keluarganya memahami tuntutan tugasnya dan mereka akan menyambut Aidilfitri di kampung halaman di Terengganu. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan