AM > BERITA

200 Murid Asnaf, B40 Terima Manfaat Program Shopping Riang Raya URWAH-Etiqa

16/03/2026 09:50 AM

KANGAR, 16 Mac (Bernama) -- Kerjasama antara Persatuan Amal Kebajikan Sahabat Urwah (URWAH) dan Etiqa Family Takaful Berhad (EFTB) terus diperkukuh menerusi penganjuran program Shopping Riang Raya yang memberi manfaat kepada 200 murid daripada golongan asnaf serta B40 di Perlis.

Program itu melibatkan murid Sekolah Kebangsaan Guar Nangka dan Sekolah Kebangsaan Simpang Empat, yang masing-masing menerima RM200 untuk membeli pakaian sekolah serta persiapan Aidilfitri.

Pengerusi URWAH Mohamad Dhirar Azwar berkata program itu adalah sebahagian daripada inisiatif kebajikan persatuan berkenaan yang menyasarkan bantuan kepada 1,250 penerima dalam kalangan asnaf dan B40.

“Bagi program Shopping Riang Raya ini, seramai 200 murid menerima manfaat iaitu 100 dari Sekolah Kebangsaan Guar Nangka dan 100 lagi dari Sekolah Kebangsaan Simpang Empat, dengan setiap seorang diberikan peruntukan RM200.

“Secara keseluruhan, jumlah sumbangan yang disalurkan menerusi kerjasama dengan Etiqa Takaful ialah sebanyak RM220,500,” katanya kepada Bernama selepas program itu di sini baru-baru ini.

Beliau berkata program itu pertama kali dilaksanakan di Perlis menerusi kerjasama dengan Etiqa Family Takaful Berhad, dan pihaknya berharap inisiatif berkenaan dapat diteruskan sebagai acara tahunan serta diperluas ke lebih banyak sekolah pada masa akan datang.

“Program ini bukan sahaja membantu murid mendapatkan pakaian baharu untuk sambutan Hari Raya tetapi juga keperluan persekolahan seperti pakaian seragam,” katanya.

Seorang waris penerima, iaitu Azulia Abdul Ghani dari Kampung Simpang Empat melahirkan rasa syukur kerana anak lelakinya yang berumur sembilan tahun menerima bantuan itu.

Murid Sekolah Kebangsaan Guar Nangka Siti Ainin Sofiya Zul Helmi juga berkata dia sangat gembira dapat membeli baju raya dan seragam sekolah melalui program itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim pula berkata pihaknya turut menyalurkan sumbangan kemudahan kepada Sekolah Kebangsaan Simpang Empat sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat itu.

Beliau berkata antaranya peralatan minuman untuk kegunaan pelajar, mesin basuh dan televisyen digital bagi membantu meningkatkan kemudahan pembelajaran.

“Peralatan ini disediakan untuk kegunaan pelajar terutamanya daripada golongan B40 supaya mereka dapat menikmati persekitaran pembelajaran yang lebih selesa di sekolah.

“Kami berharap usaha ini dapat membantu meningkatkan pencapaian mereka dan seterusnya memberi peluang kepada pelajar untuk berjaya serta mengubah masa depan keluarga masing-masing,” katanya.

Program itu diakhiri dengan majlis iftar bersama dengan murid dan guru sebagai penutup kepada acara kebajikan hasil kerjasama URWAH dan Etiqa Family Takaful Berhad di Perlis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan