AM > BERITA

Lebih 41,000 Tiket Feri Ke Langkawi Terjual Sempena Aidilfitri, Cuti Sekolah

17/03/2026 12:00 PM

ALOR SETAR, 17 Mac (Bernama) – Sebanyak 41,849 tiket feri ke Langkawi dari laluan Kuala Kedah dan Kuala Perlis serta sebaliknya terjual setakat ini bersempena sambutan Aidilfitri serta cuti sekolah yang bermula esok.

Pengurus Operasi Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line) Lt Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata penumpang bagi laluan Langkawi ke Kuala Kedah sebanyak 9,903 orang, manakala 6,960 lagi dari Kuala Kedah ke Langkawi.

“Laluan Langkawi ke Kuala Perlis melibatkan 13,756 penumpang manakala dari Kuala Perlis ke Langkawi sebanyak 11,230 orang. Secara purata, terdapat 10 perjalanan feri setiap hari, iaitu masing-masing lima bagi laluan Langkawi-Kuala Perlis-Langkawi dan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi.

“Dua perjalanan tambahan akan disediakan tertakluk kepada permintaan pembelian tiket yang dijangka meningkat dua hari sebelum Aidilfitri dan dua hari sebelum sesi persekolahan bermula semula pada 29 Mac,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebanyak 28 perjalanan tambahan bagi semua laluan disediakan bermula 17 hingga 29 Mac, meliputi tiga bagi laluan Langkawi ke Kuala Kedah, Kuala Kedah ke Langkawi (satu), Langkawi ke Kuala Perlis (13) dan Kuala Perlis ke Langkawi (11).

“Pengoperasian dijangka lancar sepanjang musim perayaan kerana syarikat telah menggerakkan semua feri dan meningkatkan tahap kesiagaan,” katanya.

Penumpang boleh membeli tiket secara dalam talian menerusi aplikasi Cuti Cuti Langkawi atau di kaunter tiket.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan