AM > BERITA

NGO Melayu, India Bertemu Cari Titik Perdamaian, Selesai Kemelut Secara Baik 

18/03/2026 08:28 PM

PUTRAJAYA, 18 Mac (Bernama) -- Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) daripada komuniti Melayu dan India bertemu hari ini bagi mencari titik perdamaian dalam usaha menyelesaikan kemelut dihadapi kedua-dua komuniti secara baik dan menyeluruh.

Sesi perdamaian yang diadakan menerusi program Harmoni MADANI itu dihadiri lebih 30 wakil kedua-dua komuniti dan berlangsung lebih empat jam bermula 3 petang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Kesemua wakil NGO menggesa supaya satu titik penyelesaian damai dicapai segera bagi membuka ruang kepada penyelesaian secara harmoni melibatkan kedua-dua kaum.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata sesi dialog berkenaan membuka ruang kepada kedua-dua komuniti untuk berunding tanpa dipengaruhi pihak luar.

“Kita berusaha memadamkan titik panas yang melanda ketika ini. Kita akan berdialog dan berbincang antara satu sama lain.

“Kita bukan lagi melihat kepada komentar pihak ketiga atau provokasi orang lain, dan ini adalah langkah permulaan dan kita mahu bergerak ke hadapan,” katanya dalam sidang media selepas program Harmoni MADANI di sini hari ini.

Pengerusi Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) Datuk N Sivakumar berkata kedua-dua pihak hari ini bersetuju bahawa kontroversi yang timbul daripada isu pembinaan rumah ibadat tanpa izin serta perbalahan hangat di media sosial perlu dihentikan segera.

"Kita bersetuju secara lisan, ini ada satu isu di peringkat awal perundingan, untuk duduk berunding  antara satu sama lain.

"Kerana isu ini sudah panas sangat. Kita perlu lepaskan ego kita,” katanya.

Sivakumar berkata antara cadangan utama dibangkitkan ialah penubuhan satu jawatankuasa atau jabatan khas di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras isu berkaitan, selain pelaksanaan audit nasional terhadap rumah ibadat bagi mendapatkan data tepat mengenai status tanah.

Antara yang hadir ialah aktivis Cikgu Chandra atau nama sebenarnya S Chandrasegaran, pendakwah bebas Firdaus Wong serta pempengaruh Kumaresan Jothi @ Santhanar Dronachariyar.

Semalam, Zamri Vinoth dan aktivis Arun Dorasamy antara tiga individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen beberapa negeri atas pertuduhan membuat kenyataan yang menimbulkan kegentaran awam.

Bagaimanapun, Zamri Vinoth, 42, atau nama sebenarnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu dan Arun, atau nama sebenarnya Arumugam Dorasamy, 56, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan