AM > BERITA

Pilih ETS Untuk Keselesaan, Jimat Masa Pulang Beraya

19/03/2026 01:14 PM

JOHOR BAHRU, 19 Mac (Bernama) -- Berbaki sehari atau dua hari menjelang perayaan Aidilfitri, pastinya lebuh raya dipenuhi dengan ribuan kenderaan untuk pulang ke kampung halaman.

Namun, dengan pelbagai alternatif yang ada di negara ini, semakin ramai memilih perkhidmatan tren elektrik (ETS) sebagai pilihan untuk pulang beraya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta menjimatkan masa perjalanan.

Bagi seorang penumpang dari Pasir Gudang, Arif Noor Zaman, 28, berkata dia mengambil keputusan menaiki ETS ke Butterworth sebelum meneruskan perjalanan ke Kedah selepas tiket tren terus ke destinasi itu habis dijual.

“Saya beli tiket ke Butterworth dahulu, nanti sambung perjalanan ke Kedah. Ini cara paling mudah sebab tiket terus memang sudah habis. Saya sudah beberapa kali menggunakan ETS, dan perjalanan kali ini lebih bermakna kerana ia kali kedua saya dari JB Sentral ke Butterworth sejak ia mula beroperasi, dan kali ini saya bersama isteri,” katanya ketika ditemui di JB Sentral, di sini hari ini.

Sebelum ini, dia lebih gemar memandu kenderaan untuk pulang ke kampung, namun kesesakan teruk ketika musim perayaan mendorongnya beralih kepada pengangkutan awam, selain faktor keselesaan.

“Kalau naik kereta, perjalanan boleh ambil masa hingga 12 jam. Naik bas pula kira-kira 11 jam. Tetapi dengan ETS, anggaran hanya kira-kira sembilan jam lebih. ETS lebih selesa kerana kita tidak perlu memandu dan memikirkan keadaan jalan raya. Kita hanya duduk dan tunggu sampai sahaja,” katanya.

Siti Nur Shahidah Hashim, 43, yang berasal dari Singapura turut memilih menaiki ETS dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur bagi pulang beraya kerana mahu mengelakkan kesesakan jalan raya selain menikmati perjalanan yang lebih selesa, terutama apabila pulang bersama anak-anak.

Sebelum ini, dia sering menggunakan kereta dan bas berkata perjalanan musim perayaan, yang lazimnya mengambil masa lebih lama akibat kesesakan, justeru ETS menjadi pilihan lebih praktikal.

“Dari JB ke KL ini kali pertama, sebelum ini naik kereta dan bas. Disebabkan jem, jadi lebih baik naik ETS. Saya bercuti hingga Ahad, dan ini kali pertama beraya di Kuala Lumpur, sebelum ini hanya di Singapura. Naik ETS memang selesa,” katanya yang bertugas sebagai pengurus di sebuah syarikat swasta.

Sementara itu, seorang pekerja Operasi Perkhidmatan Makanan dan Minuman (F&B) di Singapura yang mahu dikenali sebagai Yana, 24, berkata dia memilih menaiki ETS untuk pulang beraya ke Seremban.

Anak jati Negeri Sembilan itu berkata ini kali pertama menggunakan ETS, dan sebelum ini memandu sendiri, namun kai ini memilih tren bagi mengelakkan kesesakan. 

“Naik ETS lebih selesa, saya ambil tempat duduk kelas perniagaan. Kalau naik kereta, perlu fikir minyak, tol dan jem yang mengambil masa lebih lama,” katanya yang pulang bersendirian. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan