AM > BERITA

Malaysia Perkukuh Posisi Hab Penggambaran Serantau Di FILMART 2026

19/03/2026 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Malaysia terus mempergiat usaha memperkukuh kedudukannya sebagai hab penggambaran utama di Asia Tenggara menerusi penyertaan dalam Hong Kong International Film & TV Market (FILMART) 2026.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memaklumkan komitmen kerajaan melalui peruntukan RM300 juta bagi tempoh lima tahun di bawah Insentif Penggambaran Filem di Malaysia (FIMI) menjadi pemangkin utama dalam menarik lebih banyak produksi antarabangsa ke negara ini.

“Inisiatif ini sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai destinasi pilihan penerbit antarabangsa, disokong oleh penawaran insentif yang kompetitif, sokongan produksi yang menyeluruh serta ekosistem industri yang diyakini pemain global,” menurut FINAS menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib menyampaikan taklimat dalam sesi Malaysia On Screen bersempena dengan penyertaan agensi itu di FILMART 2026.

Pada sesi sama, FINAS turut mengetengahkan perkembangan projek penerbit tempatan sebagai usaha memperluas kerjasama strategik dan menarik minat pelabur luar.

Antara yang diberi tumpuan ialah filem terbitan Skop Productions Sdn Bhd, iaitu Black Ops dan Elepfilm Entertainment Sdn Bhd bagi filem aksi KONSPIRASI, yang mencerminkan keupayaan industri tempatan menghasilkan kandungan berkualiti tinggi bertaraf antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan