AM > BERITA

BBC Sokong Langkah Segera Kerajaan Untuk Rakyat Sempena Aidilfitri

19/03/2026 11:31 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) menyambut baik dan menyokong penuh langkah-langkah segera yang diumumkan kerajaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.

Pengerusi BBC Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata pendekatan yang diambil kerajaan jelas memperlihatkan satu kerangka intervensi yang tersusun dan berfokus, bukan sahaja dalam meringankan kos sara hidup, malah memastikan momentum pemulihan ekonomi rakyat terus diperkukuh.

Antaranya, langkah pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus dengan implikasi kewangan hingga RM21.03 juta yang merupakan intervensi signifikan bagi mengurangkan kos perjalanan rakyat pulang ke kampung halaman bagi merayakan Aidilfitri bersama keluarga.

“Dalam masa yang sama, pelaksanaan pelepasan kebankrapan secara fast track kepada kira-kira 4,000 individu mencerminkan pendekatan kerajaan yang progresif dan berperikemanusiaan.

“Dasar ini memberikan peluang kedua kepada rakyat untuk kembali menyumbang kepada ekonomi secara produktif, sekali gus mengurangkan beban sosial jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Zaliha berkata langkah lain seperti bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada 5.2 juta penerima, bantuan khas penjawat awam, pesara dan golongan agamawan serta pelaksanaan kawalan harga dan jaminan bekalan sepanjang Ramadan, membuktikan Kerajaan MADANI mengangkat pendekatan menyeluruh merangkumi dimensi kos sara hidup, kebajikan sosial dan kestabilan pasaran.

Beliau berkata keseluruhan pakej itu memperlihatkan keupayaan kerajaan dalam menyelaras dasar fiskal dan sosial secara serentak berserta impak langsung kepada rakyat, yang disifatkannya strategi intervensi proaktif bagi memastikan keseimbangan antara keperluan rakyat dengan keupayaan fiskal negara.

“BBC melihat langkah ini sebagai manifestasi jelas kepada prinsip MADANI yang menekankan nilai ihsan dan berorientasikan rakyat,” katanya.

Dalam suasana ekonomi global yang mencabar, Dr Zaliha berkata keupayaan kerajaan untuk bertindak secara responsif dan bersasar ialah kunci kepada kestabilan negara.

Pada masa sama, katanya, rakyat diseru untuk terus mengamalkan perbelanjaan berhemat serta pengurusan kewangan yang berdisiplin agar manfaat daripada pelbagai inisiatif tersebut dapat dimaksimumkan dalam jangka panjang.

Beliau berkata BBC akan terus memainkan peranan sebagai rakan strategik kerajaan dalam menyokong dasar-dasar yang memberikan manfaat nyata kepada rakyat serta memastikan naratif dasar itu difahami dengan jelas pada peringkat akar umbi.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan