AM > BERITA

Tak Sangka PM Anwar Masih Ingat - Sahabat

20/03/2026 08:48 PM

BUKIT MERTAJAM, 20 Mac (Bernama) -- Seorang warga emas dari Kampung Pelet di sini terharu menerima kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke kediamannya, sekali gus mengimbau kembali persahabatan lama mereka.

Hashim Hamid, 78, berkata Anwar yang juga kenalan lamanya ketika mereka sama-sama aktif dalam UMNO pada 1990-an dan sering bertemu dalam majlis membabitkan parti ialah seorang pemimpin yang mesra rakyat dan tidak kekok bergaul meskipun memegang jawatan tinggi.

“Beliau seorang yang sangat cergas, malah antara kenangan manis yang masih diingati adalah ketika    kehadiran Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke majlis perkahwinan anak sulung pakcik pada 1995.

“Biarpun sudah lebih 30 tahun berlalu, pakcik tak sangka beliau (Anwar) masih ingat dekat pakcik. Terharu bila diberitahu beliau nak datang ke rumah hari ini,” kata bekas Ketua UMNO Cawangan Kampung Pelet itu ketika ditemui pemberita di kediamannya, hari ini.

Terdahulu, Anwar selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek As-Syakirin, sempat meluangkan masa selama kira-kira 15 minit menyantuni dua keluarga termasuk Hashim pada Program Ziarah Komuniti Permatang Pasir bersempena dengan lawatan kerja sehari beliau di Pulau Pinang.

Meskipun tahap kesihatannya merosot selepas menghidap kencing manis sejak 15 tahun lepas, Hashim yang pernah berkhidmat sebagai askar wataniah masih mempunyai ingatan yang kuat dan menzahirkan rasa gembira dapat bertemu Perdana Menteri.

Sementara itu, Raihani Bahari, 49, mengakui terkejut dengan kehadiran Perdana Menteri menziarahi bapanya Bahari Osman, 82, yang terlantar kerana penyakit darah tinggi.

“Ayah baru keluar hospital Selasa lepas dan kini terpaksa bergantung kepada tangki oksigen. Sebenarnya pagi semalam saya ke Pusat Khidmat Rakyat Permatang Pauh di Yayasan Aman nak mohon bantuan kerusi roda untuk ayah.

“Namun, tak sangka pula hari ini Perdana Menteri sendiri nak datang jumpa ayah. Rasa macam tak percaya mulanya ingat ada orang nak scam tapi rupanya betul, memang rezeki ayah,” katanya.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata bapanya menghidap penyakit itu sejak 20 tahun lepas dan tinggal berdua bersama ibunya Puteh Man, 75.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan