KOTA BHARU, 20 Mac (Bernama) -- Anak kepada editor kanan Astro Awani disahkan meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Kilometer 85.5, Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, berhampiran Kampung Rahmat, Bukit Bunga petang tadi.
Dalam kejadian pada 4.30 petang itu, kereta Perodua Myvi yang dipandu Allahyarham Mursyid Azmi, 25, iaitu anak kepada Husna Yusop terlibat dalam pelanggaran dengan sebuah Toyota Fortuner milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika kedua-dua kenderaan sedang bergerak dari arah bertentangan.
Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Pengarang Astro Awani Hafidah Samat, yang memaklumkan mangsa dalam perjalanan pulang dari Ipoh, Perak ke Kelantan bersama dua adiknya yang turut mengalami kecederaan.
Sementara itu, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata kereta yang dipandu mangsa terbabas memasuki lorong kanan dan melanggar kereta dipandu anggotanya pada bahagian sisi sebelah kanan.
“Akibat pelanggaran itu, kenderaan Toyota Fortuner mengalami kerosakan pada bahagian fender sebelah kanan, pintu depan serta belakang sebelah kanan, cermin hadapan dan cermin pandang sisi sebelah kanan, tayar hadapan sebelah kanan tercabut dan lain-lain kerosakan belum dipastikan.
“Pasukan dari SPK Bukit Bunga bergegas ke tempat kejadian untuk memberikan bantuan kepada anggota terlibat dan mengawal lalu lintas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemahang PBT II Disagar Mani Mustafa ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.43 petang dan mendapati berlaku kemalangan membabitkan dua kenderaan sebelum memulakan operasi menyelamat mangsa yang terlibat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial