AM > BERITA

Kadar Pulih Klien AADK Capai 81 Peratus Tahun Lepas - Ruslin

22/03/2026 10:02 AM

KOTA BHARU, 22 Mac (Bernama) -- Sebanyak 21,794 klien yang menjalani program rawatan dan pemulihan dalam komuniti seluruh negara telah mencapai status kekal pulih pada tahun lepas.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh berkata kadar kepulihan klien itu telah mencapai 81 peratus daripada 26,852 jumlah keseluruhan klien yang dinilai. 

"Pencapaian ini membuktikan bahawa modul rawatan AADK berada pada landasan yang tepat dan telah melebihi pencapaian dilaporkan oleh Institut Kebangsaan bagi Penyalahgunaan Dadah (NIDA) dengan kadar kepulihan antara 40 hingga 60 peratus," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata pada tahun lepas juga sebanyak 1,500 penagih dadah telah hadir secara sukarela ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) untuk menjalani program rawatan dan pemulihan.

"Kemasukan secara sukarela ini menunjukkan tahap kesedaran yang semakin baik dalam kalangan penagih untuk mendapatkan rawatan tanpa paksaan.

"Ia juga dapat dilihat apabila pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, yang jika mereka hadir secara sukarela tidak direkodkan sebagai pesalah sebaliknya dilihat sebagai pesakit yang memerlukan rawatan dikuatkuasakan," katanya.

Beliau berkata di Kelantan pula sebanyak 147 klien sedang mengikuti rawatan dan pemulihan secara sukarela di Puspen Kota Bharu dan Bachok setakat ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan