KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Penyewaan kenderaan rekreasi atau motorhome semakin mendapat sambutan masyarakat, khususnya menjelang musim perayaan apabila ramai memilih konsep perjalanan lebih fleksibel untuk pulang ke kampung atau bercuti dengan keluarga.
Pengasas syarikat penyewaan motorhome RV Life MY Mohd Fathuddin Fakri Ramli berkata permintaan terhadap kenderaan itu meningkat ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, selari perubahan trend percutian yang menggabungkan pengangkutan dan penginapan dalam satu kenderaan.
“Sebelum Ramadan sudah ada pelanggan membuat tempahan,” katanya kepada Bernama.
Pemuda berusia 26 tahun itu berkata syarikatnya bermula dengan hanya seunit motorhome pada 2022 kini memiliki 126 unit melibatkan 40 unit di Malaysia, Jepun (80) dan Indonesia (enam).
Mohd Fathuddin Fakri berkata tahun pertama perniagaannya agak mencabar kerana ramai belum mengetahui mengenai motorhome di negara ini.
“Ada yang tertanya-tanya sama ada kenderaan ini sesuai digunakan di Malaysia atau selamat untuk perjalanan jauh. Tetapi selepas kita aktif berkongsi kandungan dan memberi pendedahan di media sosial, semakin ramai rakyat Malaysia memahami konsep ini dan mula mencubanya,” katanya.
Selain bercuti dan pulang ke kampung, beliau berkata terdapat juga pelanggan menggunakan motorhome untuk membawa ibu bapa yang uzur mendapatkan rawatan kerana ruang dalaman yang luas dan selesa berbanding kenderaan biasa.
Mohd Fathuddin Fakri berkata harga sewaan motorhome di negara ini bermula dari RM500 sehari bergantung kepada jenis dan kemudahan yang disediakan manakala unit premium boleh mencecah RM2,000 sehari.
Unit premium itu menawarkan kemudahan lebih eksklusif termasuk ruang dalaman yang luas, sambungan Wi-Fi serta tandas dengan pemanas air, selain mampu memuatkan sehingga tujuh orang.
Melihat potensi pasaran yang semakin berkembang, beliau berkata syarikatnya merancang menambah lebih banyak unit kenderaan itu di Malaysia dan memperluas operasi ke Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat.
Mohd Fathuddin Fakri berkata buat masa ini, perkhidmatan sewaan motorhome itu tertumpu di Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu, dengan perancangan menambah sekurang-kurangnya satu unit di setiap negeri akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial