Oleh Nazira Hasanah Nasaruddin
KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Tangisan hiba atau emosi melampau dalam kalangan kanak-kanak boleh mencetuskan breath holding spell (BHS), iaitu keadaan pernafasan terhenti seketika sebelum pulih secara spontan.
Pengamal perubatan klinik swasta 24 jam di sini, Dr Adli Hidayat Iman Kamarulzaman, berkata BHS lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia enam bulan hingga enam tahun berikutan sistem saraf yang belum matang.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan otak gagal mengawal reaksi emosi secara stabil ketika kanak-kanak berdepan tekanan atau kesakitan.
“Dalam kebanyakan kes, kanak-kanak akan menangis berterusan sebelum pernafasan mereka seolah-olah tersekat atau terhenti buat sementara waktu.
“Apabila pernafasan terhenti, bekalan oksigen berkurangan sehingga menyebabkan muka kanak-kanak kelihatan kebiruan sebelum sebahagian mereka pengsan. Keadaan ini lazimnya berlaku kira-kira 60 saat sebelum otak kembali berfungsi seperti biasa dan kanak-kanak bernafas semula,” katanya kepada Bernama.
Dr Adli Hidayat Iman berkata BHS jarang direkodkan sebagai kes perubatan rasmi kerana ramai ibu bapa menganggapnya sebagai perkara biasa dan tidak mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital.
“Di Malaysia, terdapat kepercayaan turun-temurun bahawa jika anak menangis hingga hampir kebiruan, ibu bapa hanya perlu meniup muka anak untuk memulihkan keadaan.
“Kepercayaan ini menyebabkan banyak kes tidak dilaporkan kepada doktor, sekali gus menyukarkan penentuan jumlah sebenar kejadian,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata ramai ibu bapa keliru antara BHS dan serangan sawan, sedangkan secara klinikal, sawan tidak dicetuskan oleh tangisan.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan ibu bapa merakam video kejadian bagi membantu doktor membuat penilaian sama ada kanak-kanak mengalami BHS atau masalah kesihatan lain yang lebih serius.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya bertenang dan meletakkan kanak-kanak di atas permukaan rata bagi memastikan saluran pernafasan kekal terbuka.
“Ibu bapa tidak digalakkan mendukung atau menggoncang anak ketika mereka tidak sedarkan diri kerana tindakan itu boleh menutup saluran pernafasan.
“Sekiranya kanak-kanak masih tidak sedarkan diri selepas kira-kira satu minit, ibu bapa perlu segera mendapatkan bantuan perubatan atau memulakan bantuan pernafasan kecemasan (CPR), yang penting untuk dipelajari,” katanya.
Beliau berkata secara umumnya BHS tidak membawa maut, namun kajian menunjukkan kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat besi mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami keadaan itu.
“Jika disahkan doktor, pemeriksaan hemoglobin dan paras zat besi akan dilakukan. Sekiranya rendah, kanak-kanak mungkin diberikan suplemen bagi mengurangkan risiko kejadian berulang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial