AM > BERITA

Subsidi Kerajaan Meningkat Kepada RM3.2 Bilion Susulan Kenaikan Harga Minyak Dunia - PM Anwar

22/03/2026 02:29 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Subsidi kerajaan meningkat daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu, susulan kenaikan harga minyak dunia akibat konflik di Asia Barat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, usaha melindungi kebajikan dan kesejahteraan rakyat tetap menjadi keutamaan Kerajaan MADANI.

“Rakyat serta majoriti peniaga tidak perlu membayar harga sebenar pasaran kerana subsidi ini disalurkan melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI Diesel,” katanya.

Perdana Menteri berkata sejak kenaikan harga minyak dunia susulan konflik di Asia Barat yang dicetuskan oleh serangan rejim Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran, ramai mempersoalkan mengapa Malaysia yang merupakan negara pengeluar minyak turut terkesan.

Beliau berkata Selat Hormuz yang merupakan laluan utama minyak dunia, terjejas akibat konflik itu, menyebabkan bekalan minyak dunia menjadi terhad dan harga melonjak.

Anwar berkata Malaysia turut terkesan kerana hampir 50 peratus bekalan minyak negara melalui selat berkenaan.

“Walaupun Malaysia pengeluar minyak, kita sebenarnya mengimport lebih banyak minyak daripada yang dieksport,” kata beliau.

Pada 28 Feb lepas, AS dan Israel mula menyerang sasaran di Iran, termasuk di Tehran, yang menyebabkan kerosakan dan kematian orang awam.

Iran pula melancarkan serangan balas terhadap wilayah Israel serta aset-aset AS di Asia Barat, selain menutup selat Hormuz.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan