AM > BERITA

Ahmad Zahid Zahir Penghargaan Kepada Ahli Meteorologi Negara

23/03/2026 12:11 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan penghargaan bersempena dengan sambutan Hari Meteorologi Sedunia 2026 kepada seluruh ahli meteorologi negara atas komitmen mereka dalam memastikan keselamatan rakyat melalui pemantauan dan penyampaian maklumat cuaca yang tepat.

Beliau berkata setiap ramalan cuaca dan amaran yang dikeluarkan mempunyai tujuan penting iaitu memastikan keselamatan rakyat sentiasa terpelihara.

“Hari ini, saya ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli meteorologi khususnya warga Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), atas komitmen mereka memantau, menganalisis dan menyampaikan maklumat cuaca secara berterusan kepada kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Bertemakan “Pemantauan Hari Ini, Perlindungan Hari Esok”, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata peranan meteorologi semakin penting dalam memastikan setiap langkah yang diambil hari ini mampu melindungi kehidupan dan kesejahteraan rakyat pada masa hadapan.

Terdahulu, METMalaysia menerusi hantaran berasingan memaklumkan tema berkenaan menekankan kepentingan teknologi dan usaha pemantauan meteorologi yang tepat serta terkini dalam melindungi kehidupan dan alam sekitar untuk generasi akan datang.

“Melalui pemantauan cuaca yang dilakukan hari ini, kita dapat membuat ramalan lebih berkesan, mengeluarkan amaran awal serta mengambil tindakan pantas bagi mengurangkan risiko bencana alam dan kesan perubahan iklim,” menurut jabatan itu yang turut meraikan ulang tahun ke-68 keahlian Malaysia dalam Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan