KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Mahkamah Sesyen Klang, Selangor memerintahkan sebuah syarikat pemprosesan kayu membayar pampasan berjumlah RM476,124.65 kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) selepas meter elektrik di premis itu diusik.
Hakim Mohd Sabri Ismail membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan saman difailkan syarikat utiliti elektrik tersebut terhadap Top Status KD Sdn Bhd sebagai defendan.
Dalam alasan penghakiman bertarikh 18 Mac, Mohd Sabri menolak hujahan defendan bahawa penurunan ketara penggunaan elektrik berpunca daripada penutupan operasi kilang semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID-19, memandangkan tempoh tuntutan kerugian bermula pada 31 Dis 2019, sedangkan PKP pertama bermula 18 Mac 2020.
“Defendan gagal menjelaskan punca sebenar penurunan ketara dalam penggunaan elektrik bagi tempoh dipertikaikan, iaitu dari 31 Dis 2019 hingga 31 Okt 2020. Mahkamah juga mendapati defendan gagal menunjukkan terdapat sebarang kesilapan nyata dalam tuntutan plaintif.
“Keterangan saksi defendan juga tidak menimbulkan sebarang keraguan terhadap kaedah pengiraan atau ketepatan penyata. Keterangan defendan hanyalah penafian kosong selain gagal melepaskan beban bukti yang diperlukan untuk menyangkal kes plaintif,” katanya.
Mohd Sabri berkata Seksyen 38(3), (4) dan (5) Akta Bekalan Elektrik 1990 memperuntukkan hak kepada TNB untuk menuntut kerugian hasil melalui prosiding sivil di mahkamah apabila kesalahan pengusikan pada pepasangan meter dibuktikan di bawah Seksyen 37 akta sama.
Pada 30 Okt 2020, pekerja TNB yang menjalankan pemeriksaan ke atas pemasangan meter di premis defendan di Pelabuhan Klang, Selangor mendapati terdapat pengusikan, termasuk ketiadaan sil terminal serta kewujudan litar tambahan yang membolehkan kawalan litar voltan fasa merah dan kuning menggunakan alat kawalan jauh melalui pendawaian antara CT coil dan fius.
Susulan pengusikan itu, TNB mengira kerugian hasil serta kos operasi yang ditanggung berjumlah RM476,124.65 sebelum menuntut jumlah itu daripada defendan.
Defendan bagaimanapun menafikan pengetahuan mengenai pengusikan itu dan menegaskan sebarang kekurangan bacaan penggunaan elektrik berpunca daripada penurunan aktiviti pengeluaran perniagaan pada tempoh berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial