AM > BERITA

Seorang Maut, Lima Cedera Kemalangan Dua Kenderaan Di JRTB

23/03/2026 05:48 PM

IPOH, 23 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki maut manakala lima lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Puncak Titiwangsa menghala ke Jeli, Lebuhraya Timur Barat, JRTB Gerik – Jeli, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 11.24 pagi.

Menurutnya, seramai 17 anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik dan BBP Jeli digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati sebuah kereta Perodua Ativa terbabas sebelum terbalik ke dalam longkang, manakala sebuah kenderaan Kia Forte pula terbabas ke bahu jalan.

“Terdapat empat mangsa dalam Perodua Ativa, seorang lelaki berusia lingkungan 70-an disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala tiga lagi cedera. Dua lagi mangsa yang menaiki Kia Forte turut mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kesemua lima mangsa cedera dihantar ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan