AM > BERITA

Malaysia Tiada Risiko "Bankrap Air", Namun Perlu Transformasi Pengurusan Air - Fadillah

24/03/2026 05:48 PM

PUTRAJAYA, 24 Mac (Bernama) -- Malaysia tidak berada dalam kategori negara berisiko mengalami “bankrap air” seperti yang dibimbangkan di peringkat global kerana masih mempunyai sumber air mentah mencukupi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata Malaysia menerima purata lebih 2,500 milimeter (mm) hujan setahun dengan anggaran sumber air boleh diperbaharui melebihi 580 bilion meter padu setahun, sekali gus menunjukkan negara tidak berdepan kekurangan sumber air secara fizikal.

“Namun begitu, cabaran sebenar yang perlu ditangani adalah dari sudut pengurusan sumber air secara bersepadu, perlindungan kawasan lembangan sungai serta kecekapan sistem penyampaian air negara.

“Cabaran utama negara bukan kekurangan air, tetapi bagaimana kita mengurus, melindungi dan mengoptimumkan sumber air secara strategik bagi menjamin sekuriti, adaptasi dan kelestarian bekalan air jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan media tempatan yang menyarankan kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) supaya merangka pelan strategik bagi mengatasi risiko situasi “kebankrapan air global”. 

Fadillah berkata antara isu utama yang perlu diberi perhatian ialah pengurusan storan air secara pelbagai, pencerobohan kawasan tadahan, pencemaran sungai dan kekurangan integrasi antara pelbagai sumber air alternatif seperti air bawah tanah, takungan air secara dalam jajaran dan pinggiran sungai.

“Secara umumnya, simpanan aktif empangan mampu menampung bekalan air sehingga 90 hari (tiga bulan). Pada masa yang sama, kadar Air Tidak Terhasil (NRW) nasional masih berada pada tahap sekitar 34.3 peratus, bersamaan kira-kira 6,000 juta liter sehari air terawat yang hilang.

“Kehilangan ini dianggar mencecah hampir RM2 bilion setahun dari segi potensi hasil. Jika kadar NRW dapat dikurangkan kepada 25 peratus sahaja, negara boleh menjimatkan kira-kira 2,000 juta liter sehari air tambahan tanpa perlu membina loji rawatan air baharu,” katanya.

Beliau berkata permintaan air negara pula dijangka terus meningkat daripada kira-kira 19,372 juta liter sehari pada 2025 kepada lebih 25,000 juta liter sehari menjelang 2030 berdasarkan kapasiti reka bentuk loji rawatan air, sekali gus memerlukan perancangan sumber baharu secara lebih strategik.

Malaysia mempunyai 2,986 lembangan sungai dengan sekitar 30 peratus lembangan sungai utama negara dikenal pasti berdepan tekanan pencemaran sederhana hingga serius akibat pelepasan industri dan aktiviti guna tanah tidak terkawal, yang boleh menjejaskan operasi loji rawatan air.

Fadillah berkata buat masa ini, kadar tarif air sedia ada bagi sesetengah operator air hanya mencukupi untuk menampung kos semasa, justeru ada keperluan untuk mempercepat pelaksanaan pendekatan Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM) di semua lembangan sungai utama negara.

“Penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan juga perlu dipertingkatkan melalui pembangunan hab digital sektor air peringkat kebangsaan yang akan diluncurkan dalam masa terdekat tahun ini dan peringkat serantau menjelang 2040.

“Pendekatan baharu pembiayaan sektor air termasuk kerjasama awam-swasta dan pembiayaan berasaskan prestasi perlu diperluaskan bagi mempercepat pelaksanaan projek pengurangan NRW dan pembangunan sumber air alternatif,” katanya.

Katanya selain itu, program komunikasi awam secara berterusan juga perlu bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap nilai air, memandangkan penggunaan domestik rakyat Malaysia masih sekitar 225 liter seorang sehari berbanding sasaran mampan Pertubuhan Kesihatan Sedunia iaitu 165 liter.

Isu “bankrap air” global menjadi perhatian selepas diketengahkan Bernama dalam artikel sempena Hari Air Sedunia pada 22 Mac dengan Institut Air, Alam Sekitar dan Kesihatan Universiti Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU-INWEH) menggunakan istilah tersebut untuk menggambarkan tahap yang melangkaui istilah biasa seperti “tekanan air” atau “krisis air”.

Pengarah UNU-INWEH Kaveh Madani memberitahu Garasi Bernama bahawa konsep ini boleh difahami melalui analogi kewangan yang mudah: sistem air permukaan ibarat akaun semasa yang diperbaharui setiap tahun oleh alam semula jadi, manakala air bawah tanah pula berfungsi sebagai akaun simpanan.

“Kebankrapan air berlaku apabila kita bukan sahaja menghabiskan wang dalam akaun semasa, tetapi juga mengosongkan akaun simpanan kerana penggunaan air yang berterusan melebihi jumlah yang tersedia,” kata Madani dalam artikel bertajuk Dunia Bakal “Bankrap Air”, Adakah Malaysia Bersedia?

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan