Oleh Siti Fauziah Hasan
JEMPOL, 25 Mac (Bernama) -- Tanaman maman yang dikenali sebagai sayuran tradisional kini dilihat berpotensi dikomersialkan susulan peningkatan permintaan dalam kalangan pengusaha makanan, sekali gus membuka peluang kepada petani mengusahakannya secara lebih sistematik dan berskala besar.
Usahawan muda Alif Dzulfarhan Mohamad Shaharudin, 36, antara yang berjaya memanfaatkan peluang apabila mengembangkan tanaman itu daripada kebun kecil kepada operasi pertanian seluas kira-kira 10 ekar, dengan pengeluaran mencecah ratusan kilogram setiap minggu.
Mengusahakan ladang dikenali sebagai Nourish Farm, anak jati Semenyih, Selangor itu berkata beliau mula menceburi bidang pertanian selepas berpindah ke Batu Kikir pada 2013, dan pada awalnya mengusahakan kilang makanan ruminan keluarga sebelum memberi tumpuan kepada sektor tanaman sayur.
“Selepas kilang makanan itu stabil, saya mendapat peluang mengusahakan tanah pajakan kerajaan dan mula menanam beberapa tanaman seperti pisang, terung serta sayur jangka pendek.
“Sekitar 2017 saya mula memberi fokus kepada tanaman maman selepas melihat permintaan terhadap sayuran tradisional ini agak konsisten terutama dalam kalangan pengusaha makanan tempatan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Bapa kepada dua anak itu berkata tanaman maman mempunyai tempoh matang yang singkat iaitu sekitar 23 hingga 25 hari sebelum boleh dituai, membolehkan pengeluaran dilakukan secara berperingkat bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi.
Alif Dzulfarhan berkata ladangnya kini mampu menghasilkan kira-kira 500 kilogram maman setiap minggu atau sekurang-kurangnya dua tan sebulan bagi memenuhi permintaan pelanggan termasuk restoran, peniaga makanan serta pemborong di negeri ini selain Bangi, Kajang dan Shah Alam.
Menurutnya, harga maman dijual sekitar RM6 hingga RM8 sekilogram bergantung kepada jumlah tempahan dengan hasil jualan boleh mencecah antara RM13,000 hingga RM15,000 sebulan pada hari biasa dan meningkat hingga kira-kira RM30,000 ketika permintaan tinggi seperti musim perayaan.
Dalam pada itu, beliau berkata perkembangan operasi ladang itu turut dipacu pembiayaan kewangan sebanyak RM125,000 daripada Agrobank pada 2024 yang membolehkannya memperluas kawasan tanaman selain menaik taraf kemudahan ladang.
“Dengan pembiayaan itu saya dapat menambah kawasan tanaman daripada kira-kira enam ekar kepada 10 ekar kini selain membeli pam air elektrik dan menambah baik sistem pengairan ladang.
“Sebelum ini, saya menggunakan pam diesel yang menelan kos sekitar RM3,000 sebulan tetapi selepas menaik taraf kepada pam elektrik, kos itu dapat dikurangkan kepada kira-kira RM300 sebulan,” katanya yang turut menggajikan lima pekerja di ladang tersebut.
Beliau berkata pembiayaan itu juga membantu mempercepat pembangunan ladang kerana tanpa sokongan kewangan, proses memperluas kawasan tanaman terpaksa dilakukan secara berperingkat mengikut kemampuan modal sendiri.
“Kalau guna modal sendiri, mungkin ambil masa beberapa bulan untuk buka kawasan baharu, tetapi dengan pembiayaan ini saya dapat memperluas beberapa ekar lagi dalam tempoh lebih singkat sekali gus meningkatkan pengeluaran hasil,” katanya yang turut menerima bantuan termasuk daripada kerajaan negeri dan jabatan pertanian.
Selain maman, beliau turut mengusahakan tanaman sayur lain seperti sawi, bayam dan kangkung secara sistem tanaman bergilir bagi memastikan kesuburan tanah.
Melihat potensi yang semakin berkembang, Alif Dzulfarhan optimis tanaman maman mampu menjadi antara tanaman bernilai komersial sekiranya diusahakan secara lebih sistematik dengan sokongan teknologi serta kemudahan pembiayaan yang sesuai.
Beliau berkata usaha memodenkan sektor pertanian termasuk melalui kemudahan pembiayaan seperti yang disediakan Agrobank dapat membantu lebih ramai usahawan pertanian meningkatkan skala pengeluaran dan menjadikan pertanian sebagai sumber pendapatan mampan.
“Pada masa hadapan, saya merancang untuk menghasilkan produk hiliran berasaskan maman seperti rendang ayam maman, rendang daging maman dan sebagainya bagi mempelbagaikan produk selain terus memperluas pasaran,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial