Oleh R. Vikneswaran
KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Dapur Digital yang pada awalnya bermula sebagai inisiatif untuk membantu komuniti miskin bandar menjana pendapatan dengan menjual makanan dimasak di rumah dalam talian kini semakin berkembang menjadi hab ekonomi komuniti.
Dilancarkan pada 2024, inisiatif Dapur Digital yang dilaksanakan oleh Pepper Labs kini bakal melebarkan sayap ke seluruh negara sambil meluaskan aktivitinya melangkaui perniagaan berasaskan makanan, untuk menjadi pusat ekonomi digital pelbagai guna.
Pengarah urusan Pepper Labs R. Thanaselan berkata transformasi itu memperlihatkan bagaimana pusat tersebut berkembang secara organik menjadi ruang yang memenuhi pelbagai keperluan komuniti.
“Sejak September 2024, 15 pusat Dapur Digital yang dibuka di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur telah menjana pendapatan lebih RM2.5 juta, mengatasi sasaran awal RM1.2 juta dalam tempoh 18 bulan.
“Selain aktiviti perniagaan, pusat ini juga menjadi ruang berkumpul untuk penduduk. Kami melihat mereka menganjurkan majlis akad nikah, majlis perkahwinan, majlis kesyukuran dan juga majlis graduasi tadika,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Thanaselan berkata Pepper Labs kini sedang berusaha untuk mewujudkan 15 lagi hab, yang dijangka beroperasi menjelang akhir tahun ini, dengan tiga dirancang di Kuala Lumpur, empat di Selangor, dan selebihnya mungkin di Kedah, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Labuan.
Beliau berkata Dapur Digital memberi tumpuan kepada menyediakan dapur berkongsi yang dilengkapi sepenuhnya dengan peralatan serta kemudahan perniagaan yang membolehkan usahawan berpendapatan rendah memulakan perniagaan menggunakan platform digital.
“Melangkah ke hadapan, kami terus komited terhadap usaha pemerkasaan ekonomi dan elemen digital, tetapi kami mahu hab ini memberi manfaat kepada komuniti dalam pelbagai cara bukan sekadar perniagaan makanan dan minuman (F&B).
"Semua pendapatan yang dijana milik usahawan -- kami tidak mengambil satu sen pun. Setiap pusat menguruskan akaunnya sendiri, membayar pekerjanya dan menyimpan keuntungannya, sementara kami memantau dan memberi panduan apabila diperlukan," katanya.
Thanaselan berkata lokasi dipilih berdasarkan kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk miskin bandar, ketersediaan ruang tidak digunakan yang sesuai dan sokongan padu daripada pihak berkepentingan tempatan.
Beliau berkata setiap pusat dikehendaki menyediakan perkhidmatan kepada sekurang-kurangnya 500 pengguna.
“Ia sama ada untuk menjalankan aktiviti F&B, aktiviti komuniti, kelas tuisyen atau kelas Kecerdasan Buatan (AI) -- apa sahaja yang menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.
“Ini mudah dicapai kerana dalam tempoh lebih setahun sejak Dapur Digital pertama dilancarkan, penerima manfaat tidak langsung daripada ekosistem ini telah melebihi 150,000 orang, iaitu mereka yang telah datang dan menggunakan ruang tersebut,” katanya.
Para peserta juga menjalani program inkubasi berstruktur yang berlangsung sehingga setahun, termasuk pensijilan pengendalian makanan, latihan prosedur operasi standard, pengenalan kepada platform penghantaran makanan seperti Grab dan Foodpanda, serta bimbingan dalam penjenamaan, pembungkusan dan pemasaran digital.
Thanaselan berkata inisiatif ini disokong oleh pembiayaan kerajaan, dengan RM2.5 juta diperuntukkan pada 2024 untuk lima pusat pertama dan tambahan RM5 juta diumumkan untuk 25 lagi, menjadikan jumlah peruntukan sebanyak RM7.5 juta bagi 30 Dapur Digital yang dirancang menjelang akhir 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial