AM > BERITA

UUM Berada Pada Kedudukan Nombor Satu Terbaik Dalam Bidang Perakaunan, Kewangan

25/03/2026 08:42 PM

ALOR SETAR, 25 Mac (Bernama) -- Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mencipta kejayaan pada peringkat antarabangsa dalam bidang Perakaunan dan Kewangan apabila berada dalam kedudukan 101-150 dalam QS World University Rankings by Subject 2026, berbanding tangga 151-200 sebelum ini.

Naib Canselor UUM Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata senarai kedudukan baharu itu menyaksikan UUM melonjak ke kedudukan nombor satu terbaik dalam negara bagi indikator sitasi dan H-indeks, sekali gus kedua terbaik secara keseluruhan dalam negara.

“Pencapaian terbaik kali ini dilakar hasil kesungguhan semua warga UUM, khususnya kakitangan akademik di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Safinaz (TISSA) dan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB).

“Pendorong utama kepada peningkatan ini ialah usaha keras petugas TISSA dan SEFB dalam melakukan penyelidikan berimpak tinggi, penerbitan, jaringan industri dan kolaborasi antarabangsa, sekali gus meletakkan UUM menyerlah pada peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata selain itu, kualiti dan pengiktirafan antarabangsa program Perakaunan, Perakaunan (Sistem Maklumat), Perakaunan Antarabangsa, Percukaian, Kewangan, Perbankan dan Pengurusan Risiko turut menyumbang kepada permintaan tinggi dalam kalangan pelajar tempatan dan antarabangsa.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pensyarah dan keluarga besar UUM untuk pencapaian ini. Kejayaan ini mengukuhkan lagi kedudukan UUM sebagai antara institusi pendidikan tinggi yang semakin mendapat pengiktirafan dalam bidang pengurusan dan perniagaan.

“Selain itu, subjek Perniagaan dan Pengurusan serta Ekonomi dan Ekonometrik turut mencatat peningkatan daripada kedudukan 251-300 pada edisi lepas kepada kedudukan 201–250 kali ini. Pencapaian ini menggambarkan kekuatan konsisten UUM dalam bidang perniagaan dan pengurusan, selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi institusi rujukan dalam pendidikan pengurusan di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Martadha berkata subjek undang-undang universiti itu juga buat julung-julung kalinya berjaya tersenarai dalam QS World University Rankings by Subjects 2026 dengan kedudukan 351-400.

“Penyenaraian sulung ini mencerminkan perkembangan positif program undang-undang universiti. Kejayaan ini juga menunjukkan kepelbagaian kekuatan akademik UUM yang bukan sahaja tertumpu kepada bidang pengurusan dan perniagaan, malah turut berkembang termasuk undang-undang.

“Pencapaian dalam penarafan global ini didorong oleh pelbagai faktor termasuk reputasi akademik, reputasi majikan, impak penyelidikan serta jaringan kerjasama antarabangsa yang semakin kukuh,” katanya.

Edisi QS World University Rankings by Subjects 2026 kali ini menilai institusi pengajian tinggi berdasarkan 55 bidang khusus yang membentuk lima bidang utama dengan komponen penilaian ialah reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi, penerbitan H-Index serta jaringan kolaborasi antarabangsa dalam penyelidikan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan