AM > BERITA

UTeM Perkukuh Reputasi Global Menerusi Penarafan QS World University Rankings 2026

27/03/2026 02:05 PM

MELAKA, 27 Mac (Bernama) -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus melakar kecemerlangan membanggakan pada peringkat akademik antarabangsa apabila mencatat peningkatan signifikan dalam dua bidang utama menerusi QS World University Rankings by Subject 2026 yang diumumkan baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM Profesor Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata pencapaian itu diraih menerusi bidang Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan yang kini melonjak ke kedudukan 351-400, manakala bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik berjaya berada dalam kelompok 401-450.

"Sementara itu, bidang Sains Komputer dan Sistem Maklumat terus mengekalkan momentum prestasinya dengan kekal berada pada kedudukan 651-700, sekali gus membuktikan konsistensi kualiti akademik universiti teknikal ini.

"Pencapaian ini dilihat sebagai manifestasi komitmen berterusan UTeM dalam memperkasakan kecemerlangan pengajaran, penyelidikan dan inovasi, selari dengan aspirasi untuk menjadi institusi pendidikan teknikal terkemuka pada peringkat global," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Massila berkata kejayaan itu juga hasil daripada strategi berfokus dalam meningkatkan kualiti penyelidikan, impak penerbitan akademik, serta pengukuhan jaringan kolaborasi strategik bersama-sama rakan industri dan institusi antarabangsa yang semakin meluas.

Beliau berkata pencapaian itu juga hasil dedikasi tenaga akademik yang pakar dalam memastikan kurikulum kekal relevan dan berdaya saing yang menjadi tunjang utama kepada lonjakan penarafan ini.

Pencapaian berkenaan, katanya, bukan sekadar angka, tetapi turut memberikan impak besar dalam memperkukuh reputasi UTeM sebagai institusi pendidikan teknikal (TVET) aras tinggi yang diyakini oleh pihak berkepentingan pada peringkat antarabangsa.

"Hal ini akan membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik dan meningkatkan kebolehpasaran graduan kita di mata dunia," katanya.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk mempergiatkan usaha dalam penyelidikan berimpak tinggi dan memperluas kerjasama antarabangsa selain mengambil langkah proaktif bagi memperkasakan bidang keutamaan strategik universiti demi memastikan kecemerlangan yang mampan dan terus meningkat pada masa hadapan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan