KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Program Infaq Ramadan anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama masjid dan surau TH berjaya mengumpul sumbangan lebih RM270,000 serta mengagihkan lebih 900 kotak infaq sepanjang bulan Ramadan lepas.
Program itu merangkumi pelbagai aktiviti kebajikan dan pengisian rohani bagi menyantuni golongan memerlukan, selain mengimarahkan Ramadan termasuk penyaluran sumbangan kepada institusi Pendidikan Islam, pusat kebajikan anak yatim, warga emas, golongan asnaf, orang kurang upaya (OKU) serta saudara baharu (mualaf) di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad berkata program tahunan yang dilaksanakan sejak 2022 itu menjadi platform penting bagi menggalakkan penyertaan warga TH dalam aktiviti kebajikan, di samping mengeratkan ukhuwah antara institusi berkenaan dan masyarakat.
“Program Infaq Ramadan ini merupakan platform penting untuk menyemarakkan semangat kongsi rezeki serta menyantuni golongan yang memerlukan khususnya dalam bulan yang penuh keberkatan.
“Ramadan adalah waktu terbaik untuk meningkatkan amalan kebajikan dan memperkukuh hubungan sesama manusia. Melalui program infaq tersebut, TH berharap dapat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan di samping memupuk nilai keprihatinan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam usaha memperkukuh ukhuwah, TH turut menganjurkan Program Semarak Ihya’ Ramadan di masjid dan surau TH dengan pelbagai pengisian sepanjang bulan berkenaan.
Antaranya ialah majlis berbuka puasa, majlis tahlil arwah, solat tarawih dan moreh yang diadakan setiap hari sepanjang Ramadan serta mendapat sambutan menggalakkan daripada warga TH dan masyarakat setempat.
Program yang turut mencuri perhatian ialah Majlis Berbuka Puasa “Road to Fitrah” di Dewan Besar TH yang dihadiri 120 saudara baharu dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).
Majlis itu yang turut dihadiri Mustakim, diceriakan lagi dengan pengagihan duit raya dan kotak infaq, selain menyaksikan seorang individu memeluk Islam dengan melafazkan syahadah.
Selain itu, bagi menyemarakkan penghayatan Ramadan, TH menganjurkan pelbagai program kerohanian termasuk Ambang Ramadan, Kapsul Ramadan mingguan, Majlis Khatam Al-Quran serta “TH Quran Hour” yang melibatkan 913 warga TH daripada 142 kumpulan tadarus.
Kumpulan tadarus berkenaan memulakan bacaan sejak bulan Rejab melalui pelancaran Program Rejab, Syaaban dan Ramadan (RSR) 2026 di TH.
Mustakim berkata penganjuran program seumpama itu akan terus diperkukuh pada masa hadapan bagi membolehkan TH terus menyantuni masyarakat sebagai sebuah institusi Islam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial