KOTA KINABALU, 27 Mac (Bernama) -- Keputusan kerajaan mengekalkan subsidi diesel di Sabah disifatkan sebagai langkah penting dalam melindungi kebajikan rakyat, khususnya dalam berdepan kos sara hidup yang tinggi serta cabaran logistik di negeri itu.
Pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah David Chan berkata langkah berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, terutama di Sabah yang sangat bergantung kepada pengangkutan darat dan laut.
Beliau berkata pengekalan diesel bersubsidi pada kadar RM2.15 seliter bagi pengangkutan awam dan sektor pengangkutan barangan darat turut membantu menstabilkan kos pengangkutan dan pengedaran.
“Subsidi diesel yang diteruskan ini bukan sekadar langkah ekonomi, sebaliknya menjadi talian hayat penting bagi rakyat Sabah. YPNM mengakui kos sara hidup kekal sebagai cabaran utama, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Justeru, kesinambungan subsidi ini membantu menstabilkan kos pengangkutan dan pengedaran, sekali gus meredakan tekanan terhadap harga makanan serta barangan keperluan asas,” katanya kepada Bernama hari ini.
Chan turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas langkah berkenaan ketika harga pasaran terbuka mencecah sekitar RM5.52 seliter.
Beliau berkata YPNM mengiktiraf pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, di samping mengekalkan tanggungjawab fiskal.
Sementara itu, penternak kambing di Putatan, Jason Lee, 49, berkata subsidi diesel amat penting bagi sektor pertanian dan penternakan kerana kos bahan api yang tinggi akan meningkatkan kos pengeluaran dan menjejaskan harga pasaran,
Selain itu, katanya keadaan jalan raya di Sabah yang tidak seragam, termasuk laluan berbatu, tidak berturap serta berbukit-bukau menyebabkan penggunaan kenderaan pacuan empat roda menjadi keperluan, khususnya di luar bandar.
“Sebagai contoh, perjalanan dari Kota Kinabalu ke Sandakan sejauh kira-kira 400 kilometer boleh mengambil masa antara enam hingga tujuh jam melalui jalan darat, berbanding laluan di Semenanjung yang lebih lancar.
“Justeru, kebergantungan terhadap kenderaan pacuan empat roda dan lori yang menggunakan diesel adalah tinggi, sekali gus menjadikan subsidi bahan api amat penting bagi menyokong kehidupan harian serta aktiviti ekonomi penduduk,” katanya.
Bekas pemain bola sepak Sabah, Rosdy Wasli berharap isu subsidi diesel tidak dipolitikkan sebaliknya dilihat sebagai keperluan asas rakyat di Sabah dan Sarawak.
“Dalam keadaan ekonomi global yang mencabar, kita seharusnya memahami keperluan setiap wilayah dan tidak menjadikan perkara ini sebagai polemik.
“Kerajaan mungkin sudah pertimbangkan bahawa penggunaan diesel terlalu banyak atau penggunanya ramai di Sabah dan Sarawak, jadi usaha ini adalah untuk membantu rakyat di dua negeri ini,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan harga diesel di Sabah dan Sarawak kekal pada RM2.15 seliter dengan had pengisian maksimum 50, 100 dan 150 liter mengikut kategori kenderaan bagi mengawal penggunaan bahan api itu.
Had tersebut melibatkan kenderaan ringan (50 liter), kenderaan pengangkutan awam dan barangan tidak melebihi tiga tan (100 liter) dan kenderaan melebihi 3 tan (150 liter) bagi setiap pembelian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial