SEREMBAN, 28 Mac (Bernama) -- Malaysia akan menghantar nota diplomatik kepada Filipina secepat mungkin bagi menolak sebarang tuntutan semula negara itu ke atas Sabah, seperti yang dibangkitkan senatornya, Robin Padilla, baru-baru ini.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia secara konsisten menghantar nota diplomatik sedemikian setiap kali kenyataan berhubung tuntutan terhadap Sabah dibangkitkan oleh mana-mana pihak di negara berkenaan.
Beliau berkata kedudukan Sabah sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia adalah muktamad, memandangkan rakyat negeri itu telah membuat keputusan menyertai Malaysia melalui proses sah yang diperakukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Hal ini bukan perkara baharu (tuntutan Sabah), dah berpuluh-puluh tahun sejak dulu, inilah yang ditimbulkan untuk mengalihkan masalah dalaman negara supaya rakyat menumpukan kepada perkara lain, saya rasa rakyat Filipina pun faham, ahli politik kadang-kadang cari isu yang boleh mengalihkan pandangan rakyat.
“Tidak timbul soal Sabah masih lagi menjadi tuntutan mereka (Filipina) tetapi kalau mereka nak bangkitkan, terpulanglah. Kita bukan bantah tapi menolak terus apa jua (tuntutan) dan ia merupakan sesuatu yang tidak berasas, sebab itu kita bukan hantar nota bantahan tetapi nota menolak tuntutan itu,” katanya.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Rantau di sini hari ini.
Beliau berkata kenyataan seumpama itu dibuat oleh individu tertentu dan tidak mencerminkan pendirian rasmi kerajaan Filipina, sekali gus tidak menjejaskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“Ini kerana seorang senator bercakap, kerajaan Filipina pun tak boleh buat apa-apa, macam kita juga di sini pembangkang bercakap, kita nak buat macam mana, tak banyak kita boleh lakukan… jadi pendirian Filipina dan Malaysia jelas.
“Setelah banyak percakapan dan tuntutan dibuat, tidak pernah ia mengeruhkan hubungan baik antara Malaysia dan Filipina, tambah pula Filipina juga tahun ini adalah Pengerusi ASEAN,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Padilla menggesa Presiden Ferdinand Marcos Jr untuk menghidupkan semula tuntutan negara itu ke atas Sabah, sebuah wilayah yang kaya dengan sumber asli.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Padilla dilaporkan berkata sudah tiba masanya Manila bertindak tegas bagi “menuntut hak” yang didakwanya milik Filipina, termasuk cadangan menghantar wakil rasmi ke kawasan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial