AM > BERITA

Puntung Rokok "Sisa Kecil" Bawa Pencemaran Besar, PKM Jadi Sandaran

29/03/2026 03:51 PM

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Di sebalik kemeriahan Aidilfitri yang sinonim dengan budaya kunjung-mengunjung dan rumah terbuka, timbul kebimbangan terhadap satu tabiat yang sering dipandang remeh, tetapi memberikan kesan besar kepada alam sekitar, iaitu pembuangan puntung rokok.

Aktiviti merokok yang lazimnya berlaku ketika pertemuan sosial bukan sahaja menjejaskan kesihatan, malah turut meninggalkan sisa yang berpotensi mencemarkan persekitaran secara serius jika tidak diurus dengan betul.

Walaupun bahaya asap rokok terhadap manusia telah lama diketahui, kesan pembuangan puntung rokok kepada ekosistem masih kurang diberi perhatian dalam kalangan masyarakat.

Keadaan itu menyebabkan ramai perokok tidak teragak-agak membuang puntung rokok secara sembarangan, lebih-lebih lagi ketika aktiviti ziarah Aidilfitri yang melibatkan pergerakan dan perhimpunan ramai.

Pakar perubatan kesihatan awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Rozita Hod menyifatkan persepsi bahawa puntung rokok hanyalah "sisa kecil" sebagai tanggapan yang membimbangkan kerana satu puntung rokok mengandungi lebih 7,000 bahan kimia toksik seperti nikotin, arsenik dan logam berat yang boleh mencemarkan alam sekitar.

Beliau berkata apabila dibuang merata-rata, bahan toksik itu boleh meresap ke dalam tanah dan seterusnya memasuki sistem perparitan sebelum mengalir ke sungai dan laut.

“Bahan kimia toksik yang tidak terbiodegradasi akan menjejaskan kehidupan dan organisma dalam sungai dan laut tersebut serta meracunkan ekosistem,” katanya kepada Bernama. 

Rozita berkata terdapat kajian di Eropah sebelum ini yang mendapati satu puntung rokok hanya terurai kira-kira 38 peratus dalam tempoh dua tahun, manakala untuk terurai sepenuhnya dianggarkan mengambil masa antara lima hingga 10 tahun.

Mengulas lanjut, beliau berkata kebanyakan puntung rokok juga mengandungi penapis yang diperbuat daripada plastik yang boleh terurai menjadi mikroplastik, sekali gus berpotensi mengancam hidupan marin.

Kajian sebelum ini juga mendapati banyak sisa tembakau itu telah ditemukan di dalam perut penyu dan hidupan laut yang menyangkakannya sebagai makanan sehingga menyebabkan gangguan pencernaan serius yang berisiko kepada kematian seterusnya menjejaskan keterjaminan makanan negara.

Rozita yang juga Ketua Jabatan Perubatan Awam berkata satu puntung rokok dianggarkan mampu mencemarkan 1,000 liter air dengan bahan kimia berbahaya yang boleh menyebabkan kematian setinggi 50 peratus daripada sesetengah spesies hidupan air.

Beliau berkata pada peringkat global, kira-kira 4.5 trilion puntung rokok dibuang setiap tahun, menjadikannya antara sisa paling banyak mencemarkan alam sekitar.

Di Malaysia pula, jumlah tersebut turut signifikan selari dengan kadar perokok yang masih tinggi dengan peratus prevalens merokok di Malaysia dianggarkan 20 peratus.

Mengharapkan adanya sinar polemik itu dapat diatasi menerusi penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) yang bermula pada 1 Jan lepas, hakikatnya bukan sahaja Rozita, bahkan pertubuhan bukan kebajikan alam sekitar (NGO) turut menaruh harapan sama. 

PKM di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672], ialah elemen perundangan baharu yang diperkenalkan, khusus bagi menangani kesalahan pembuangan sampah kecil di tempat atau di jalan awam, selain mendidik pesalah melalui kerja pembersihan.

Biarpun begitu, PINKTRASH, sebuah NGO alam sekitar memaklumkan bahawa pelaksanaannya tidak akan berkesan sekiranya tidak disertai dengan pendidikan awal yang berterusan selain memperbanyak program kesedaran yang konsisten untuk memastikan masyarakat komited menghargai alam. 

“Pendidikan awal dan penanaman nilai moral sejak kecil sangat penting kerana ia membentuk tabiat bertanggungjawab terhadap alam sekitar yang tidak boleh dicapai sekadar melalui undang-undang atau hukuman,” katanya. 

Namun begitu, dengan ratusan kes telah dibawa ke mahkamah dan didenda serta perlu menjalani PKM atas kesalahan membuang sampah kecil sejak dikuatkuasakan, jelas membuktikan ketegasan pihak berkuasa dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan kebersihan awam. 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming sebelum ini berkata lebih 1,000 individu telah ditahan dan dikenakan tindakan PKM di seluruh negara atas kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam sejak awal tahun hingga kini. 

Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khalid Mohamed berkata berdasarkan data, kesalahan paling tinggi di bawah undang-undang itu ialah pembuangan puntung rokok. 

“Selain itu, (sisa paling banyak dibuang juga) ialah plastik, pembungkus makanan dan botol minuman di kawasan kaki lima serta tempat awam. SWCorp menjangkakan lebih banyak lagi kes akan dibawa ke mahkamah. 

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui SWCorp komited memastikan kawasan tumpuan awam, termasuk lokasi pelancongan, mencapai tahap kebersihan yang setara dengan negara maju dan penguatkuasaan ini terpakai kepada semua, sama ada warga Malaysia, warga asing mahupun pelancong,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan