IPOH, 29 Mac (Bernama) - Fenomena cuaca panas yang melanda Perak ketika ini turut menjejaskan kawasan sawah padi di Skim Pengairan Seberang Perak dan Skim Pengairan Sungai Manik yang terletak di daerah Perak Tengah dan Hilir Perak.
Pegawai Khas Menteri Besar Perak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah Khairul Azwan Harun berkata kawasan sawah berkeluasan 13,356 hektar itu berdepan masalah pertumbuhan padi akibat cuaca panas dan kering kerana ketiadaan hujan sejak kebelakangan ini.
"Saya telah meninjau kawasan semalam akibat kemarau dan ia sangat serius kerana menjejaskan industri tanaman padi di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak yang merupakan antara kawasan jelapang padi utama negara," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata pihaknya telah meminta bantuan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perak untuk menambah pam air bagi menyalurkan bekalan air yang lebih stabil ke kawasan sawah.
Khairul Azwan juga berharap agar kerajaan dapat memberi bantuan memandangkan pesawah terpaksa menanggung kos diesel bagi pam air yang disediakan IADA dan JPS.
"Selain itu, saya juga mahu mengajak pesawah dan rakyat untuk melakukan solat hajat dan berdoa kepada Allah supaya memohon (turun) hujan sebagai salah satu ikhtiar," katanya.
Terdahulu, Khairul Azwan menerusi laman Facebook memuat naik tinjauan beliau ke kawasan sawah padi berkenaan.
Dua hari lepas, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan seluruh Perlis, empat daerah di Kedah dan satu daerah di Perak mencatatkan gelombang haba Tahap 2, manakala 13 kawasan lain di Semenanjung Malaysia berada pada Tahap 1 iaitu tahap berjaga-jaga.
Menurut MetMalaysia, Tahap 2 diisytiharkan apabila suhu maksimum harian melebihi antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut, manakala Tahap 1 merujuk kepada suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius dalam tempoh sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial