BUKIT MERTAJAM, 29 Mac (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah meluluskan hampir RM2 bilion pembiayaan yang memberi manfaat kepada sejumlah 88,150 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara.
Menteri berkenaan Steven Sim berkata kelulusan itu dicapai dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan bagi memperkukuh sektor keusahawanan negara.
Beliau berkata KUSKOP juga mempergiat pelaksanaan Kempen PowerUp10k bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan 10,000 syarikat Malaysia.
“Kita akan melancarkan Kempen PowerUp10k di mana kita bukan sahaja mengekalkan kelangsungan perniagaan tetapi membantu penskalaan operasi sekali gus mengangkat keupayaan mereka supaya boleh berdepan dengan cabaran,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Balik Rumah One Hope Charity di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen, Pengasas merangkap Pengerusi One Hope Charity Welfare Datuk Chua Sui Hau serta wakil-wakil hospital kerajaan dan swasta di Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Sim berkata KUSKOP turut memberi tumpuan kepada usaha memperluas akses pasaran PMKS termasuk memperkukuh penglibatan dalam pasaran domestik dan meneroka peluang ke peringkat antarabangsa.
Menyentuh mengenai cabaran semasa termasuk kesan kenaikan harga diesel, beliau berkata Malaysia sebagai ekonomi terbuka tidak terlepas daripada impak global seperti konflik ekonomi dan ketidaktentuan geopolitik.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu berkata kerajaan terpaksa membuat keputusan yang sukar dan mungkin tidak popular namun keutamaan ialah melindungi rakyat serta memastikan kestabilan ekonomi negara.
“Contohnya Program Budi MADANI RON95 (BUDI95)... apabila kerajaan buat tahun lepas, memang dikritik tetapi kita nampak kesan keputusan tidak popular itu pada hari ini... bukan sahaja bekalan kita masih lagi mencukupi tetapi yang paling penting, rakyat secara amnya dapat menikmati petrol pada harga RM1.99 seliter,” katanya.
Terdahulu, Majlis Balik Rumah One Hope Charity menghimpunkan lebih 200 keluarga yang pernah menerima bantuan daripada pihak yayasan dan berkongsi perkembangan kehidupan mereka selepas itu.
One Hope Charity Welfare telah membantu keluarga yang memerlukan dengan menyalurkan bantuan perubatan mencecah lebih RM100 juta sepanjang tempoh lima tahun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial