AM > BERITA

Cuaca Panas: Air Tasik Beris Menyusut, Aktiviti Terjejas

30/03/2026 02:07 PM

SIK, 30 Mac (Bernama) -- Cuaca panas berlarutan menyebabkan paras air Tasik Beris, di sini menyusut sehingga menjejaskan aktiviti harian, khususnya kepada mereka yang terlibat dalam sektor pelancongan secara kecil-kecilan di situ.

Pengusaha pusat peranginan Abdul Rashid Abdullah, 65, berkata cuaca panas ketika ini antara terburuk pernah dialaminya sepanjang lebih 25 tahun mengusahakan perniagaan di situ, dengan paras air didapati terus menurun setiap hari. 

“Jika cuaca panas berterusan, aktiviti di sini khususnya yang melibatkan air seperti kayak pasti terjejas,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Abdul Rashid berkata paras air yang menyusut sejak Januari lepas menyebabkan kafe terapung yang menjadi tarikan pengunjung, terdampar di daratan selain kawasan yang diliputi air sebelum ini, bertukar menjadi daratan kering.

“Dari atas sudah boleh melihat tunggul kayu yang sebelum ini tenggelam di dasar tasik. Pemandangan kini jauh berbeza berbanding dahulu,” katanya. 

Sementara itu, penduduk Muhammad Helmi Hashim, 42, yang menanam kira-kira 45 anak pokok durian pelbagai varieti serta tanaman kontan sejak enam bulan lepas di kawasan berhampiran berkata situasi itu menjejaskan aktiviti mereka yang bergantung kepada tasik sebagai sumber air pertanian. 

“Sebelum ini, kawasan ini kebun getah dan kami bergantung kepada air tasik untuk menyiram tanaman. Apabila paras air menyusut, saya dan dua saudara yang juga menggunakan tasik sebagai sumber air perlu memindahkan pam setiap hari ke lokasi baharu bagi memastikan tanaman mendapat air secukupnya,” katanya.

Muhammad Helmi berkata cuaca panas berpanjangan serta pelepasan air empangan ke sungai antara faktor menyebabkan paras air tasik berkurangan dan mereka mungkin terpaksa mendapatkan bekalan air alternatif bagi menyelamatkan tanaman jika keadaan itu berlarutan.

Sementara itu, paras air di Taman Tasik Taiping, Perak masih berada pada tahap terkawal walaupun dilaporkan menyusut susulan fenomena cuaca panas.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping Mohamed Akmal Dahalan berkata keadaan paras air tidak seteruk yang pernah dialami sebelum ini, sehingga menjejaskan pemandangan dan keindahan tasik susulan air yang surut.

“Saya harap keadaan sebegitu tidak berlaku dan cuaca panas ini tidak terlalu lama. Alhamdulillah, semalam beberapa kawasan di Taiping mengalami hujan lebat dan ia memberi sedikit kelegaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian pengubahsuaian dalaman Pusat Interpretasi Pelancong dan pelancaran Jejak Kedamaian Taiping di Menara Jam Taiping yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee di sini hari ini.

Untuk rekod pada 2024, beberapa bahagian Taman Tasik Taiping kering akibat cuaca panas dan kekurangan hujan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan