AM > BERITA

Penternak Ikan Air Tawar, Udang Gusar Episod Kolam Kering Kontang 1998 Berulang

30/03/2026 03:27 PM

Oleh Nur Syuhada Yusof

KANGAR, 30 Mac (Bernama) -- Fenomena cuaca panas berpanjangan yang melanda negara kini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengusaha ternakan ikan air tawar dan udang galah di Perlis.

Bakri Derani, 60, pengusaha kolam memancing ABE di Sungai Batu Pahat berkata siatuasi cuaca panas ketika ini lebih membimbangkan berbanding peristiwa el Nino pada 1998.

Menurutnya, ketika kejadian 28 tahun lepas, walaupun kolam ternakan udang galah dan ikannya kering kontang akibat bekalan air terjejas, masih terdapat sumber air dari lereng bukit, berbeza dengan situasi dialami sekarang ini.

“Sepanjang tempoh empat bulan, ini kali pertama saya lihat sumber air dari bukit kering. Ia memberi kesan besar kepada kolam ternakan saya.

"Saya mulai bimbang kerana paras air kolam kini susut mendadak, daripada kedalaman kira-kira 2.1 meter kepada 1.5 meter, kolam saya berisiko kering sepenuhnya jika cuaca panas ini berterusan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Pada 25 Mac lepas, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Ambun Dindang berkata fenomena cuaca panas yang sedang melanda negara dijangka berterusan hingga awal Monsun Barat Daya pada Jun.

Menurut Ambun bacaan suhu tertinggi negara pernah direkodkan di Chuping, Perlis iaitu 40.1 darjah Celsius pada 1998 yang berlaku ketika fenomena el Nino.

Sementara itu, Bakri berkata ribuan ekor ikan atau kira-kira 25 tan ikan air tawar ternakannya terdiri daripada rohu, tilapia, puyu dan patin di lima kolam, serta 10 tan udang galah dalam satu kolam berasingan berisiko terjejas akibat kekurangan air dan peningkatan suhu.

“Apabila air surut, suhu meningkat. Saya tidak dapat melakukan pembenihan baharu kerana benih ikan dan udang galah berisiko mati. Saya juga takut untuk menambah stok baharu dalam keadaan sekarang,” katanya.

Menurut Bakri, jika keadaan cuaca panas berlarutan hingga kolam kering sepenuhnya, beliau berisiko  mengalami kerugian antara RM100,000 hingga RM200,000, berbanding puluhan ribu ringgit sahaja pada 1998.

Bapa kepada empat orang anak itu kini bergantung kepada perniagaan Warung D’Kolam milik keluarganya di lokasi sama untuk menampung kos operasi harian perniagaannya selepas jumlah pelanggan datang memancing susut akibat cuaca panas ekstrem ketika ini.

Selain itu, Bakri memaklumkan kira-kira 50 peratus pengeluaran benih ayam dan itik bagi perusahaan alternatif di ABE Agro Farm merosot, berikutan suhu panas berterusan yang menjejaskan proses pengeraman telur di dalam inkubator bagi kedua-dua haiwan ternakan itu.

“Suhu eram telur normal adalah 37.5 °C, namun suhu tinggi ketika ini menyebabkan banyak telur ayam dan itik yang sepatutnya menetas dalam tempoh ditetapkan antara 18 hingga 21 hari tidak menetas mengikut tarikh dijangkakan, malah ada telur yang rosak,” katanya. 

Beliau berkata kira-kira 500 ekor ternakan ayam dan itiknya di Kampung Baru Syed Omar perlu sering dimandikan dengan percikan air sekurang-kurangnya tiga kali sehari bagi mengelakkan risiko haiwan ternakan itu mati mengejut akibat strok haba.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan