AM > BERITA

Krisis Global Tidak Jejas Tarikan Pelaburan Sarawak - Awang Tengah

30/03/2026 03:26 PM

KUCHING, 30 Mac (Bernama) -- Sarawak terus kekal berdaya tahan dengan memanfaatkan kelebihan strategik bagi mengekalkan keyakinan pelabur, khususnya dalam sektor tenaga, walaupun ketegangan geopolitik di Asia Barat memberi cabaran terhadap aliran pelaburan global.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata sumber tenaga boleh baharu yang banyak, khususnya hidro, memberikan kelebihan kompetitif besar kepada negeri itu ketika banyak negara lain berdepan kekurangan bekalan dan peningkatan kos tenaga.

“Ini merupakan kelebihan kita. Ketika negara lain berdepan kekangan, kita terus membangunkan kapasiti tenaga boleh baharu yang menjadi tarikan utama kepada pelabur,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis SMD Semiconductor Bejarah Raya Aidilfitri, di sini, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar serta Menteri Perdagangan Antarabangsa Industri dan Pelaburan Sarawak berkata minat pelabur kekal menggalakkan, khususnya dalam projek tenaga boleh baharu seperti solar dengan penglibatan pelabur dari China dan Timur Tengah.

“Terdapat lawatan pelabur berpotensi baru-baru ini dan komitmen untuk melabur juga sudah  ada, namun kita akan terus memantau perkembangan global,” katanya.

Beliau berkata tahun lepas Sarawak merekodkan pelaburan langsung asing (FDI) bernilai lebih RM16 bilion dengan pelaburan langsung domestik (DDI) merangkumi sektor utama, perkhidmatan dan pembuatan.

“Sepanjang lima tahun lepas, jumlah pelaburan yang diluluskan juga melebihi RM16 bilion, dengan kebanyakannya telah direalisasikan sepenuhnya atau menunjukkan kemajuan yang baik di lapangan,” katanya sambil menambah Kerajaan Negeri Sarawak akan terus mempergiat usaha untuk menarik pelaburan.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan