KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) akan menganjurkan Karnival Health Living SunMed 2026 pada 26 April sebagai sebahagian daripada usahanya meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan komuniti dalam suasana yang menyeronokkan serta interaktif.
Karnival bertemakan “Kesihatan Lebih Baik. Kehidupan Lebih Bermakna” dari 10 pagi hingga 4 petang di Lobi Menara D, SMC itu diadakan bersempena Hari Kesihatan Sedunia dan bertujuan memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang kepentingan penjagaan kesihatan melalui pencegahan, pendidikan kesihatan serta amalan gaya hidup yang lebih sihat.
“Berdasarkan ramalan data terkini, tahap kesihatan dan kesejahteraan am rakyat Malaysia berada pada tahap yang perlu diberi perhatian dan berdepan cabaran jangka panjang, terutamanya penyakit tidak berjangkit (NCD) yang berpunca daripada faktor gaya hidup.
“Kadar obesiti kekal tinggi dengan lebih 2.85 juta kanak-kanak (berusia lima hingga 19 tahun) dijangka mengalami berat badan berlebihan atau obes menjelang 2026 selain menjejaskan lebih 32.6 peratus orang dewasa. Peningkatan prevalens NCD seperti diabetes, penyakit kardiovaskular dan kanser turut menjadi kebimbangan utama di Malaysia,” menurut SMC dalam kenyataan hari ini.
Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan dan Komunikasi Korporat SMC Tan Mei Shin berkata karnival kesihatan itu sebahagian daripada komitmen besar mereka untuk memperkasakan rakyat Malaysia mengukuhkan imuniti, mengekalkan kecergasan fizikal dan mengamalkan gaya hidup aktif.
“Kami berharap dengan mengamalkan gaya hidup sihat, ia akan memberi inspirasi kepada individu dan komuniti untuk mengutamakan kesejahteraan diri demi menjalani kehidupan yang lebih sihat dan bermakna,” katanya.
Pengunjung boleh mendapatkan pelbagai saringan dan penilaian kesihatan yang dikendalikan oleh Pusat-Pusat Kecemerlangan SMC termasuk analisis komposisi badan, ujian glukosa darah dan kolesterol, ujian tekanan darah postural, ujian ketahanan Sit-to-Stand dan banyak lagi.
Selain itu, pelbagai aktiviti interaktif dan informatif turut diadakan seperti Cabaran Lightning Reflex, Cabaran pickleball, Marketplace Hidup Sihat, reruai kesedaran kesihatan, pendengaran dan kanser selain sesi kuiz serta segmen cabutan bertuah.
Sementara itu, SMC baru-baru ini sekali lagi diiktiraf sebagai hospital terbaik di Malaysia dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2026, menandakan tahun kedua berturut-turut menerima penghormatan tersebut.
Hospital itu turut dinobatkan sebagai Hospital Terbaik buat tahun kelima berturut-turut di samping menerima anugerah Inisiatif Hospital Pintar Terbaik di Healthcare Asia Awards 2026.
“Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan hospital dalam memacu kecemerlangan klinikal dan memperkukuh reputasi globalnya dalam keselamatan pesakit serta keberkesanan klinikal,” menurut kenyataan itu.
Untuk mendaftar bagi acara itu, layari https://sunmedcarnival2026.sunwaymedical.com/
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial