AM > BERITA

Menara Jam Taiping Berwajah Baharu, Jadi Pusat Interpretasi Pelawat

30/03/2026 06:02 PM

TAIPING, 30 Mac (Bernama) -- Menara Jam Taiping yang berusia 145 tahun kini berwajah baharu dengan  menggabungkan elemen sejarah dan teknologi selepas melalui fasa baik pulih sekali gus dijadikan sebagai Pusat Interpretasi Pelawat.

Menara jam di Jalan Kota dan pernah dikenali sebagai The Fort itu menjadi mercu tanda ikonik bandar Taiping.

Struktur asal menara jam itu dibina pada 1881 menggunakan kayu dan dibina semula pada 1891 dengan menggunakan batu bata, serta pernah digunakan sebagai Town Police Station dan balai bomba.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee berkata projek baik pulih itu melibatkan kos RM400,000 yang disediakan Kementerian Kewangan serta dana daripada pelbagai pihak.

Loh berkata antara tarikan utama di pusat interpretasi itu ialah model tiga dimensi (3D) Bandar Taiping dengan gambaran visual yang jelas mengenai susun atur bandar warisan.

“Selain itu, terdapat Pusat Multimedia yang menayangkan dokumentari naratif budaya dan warisan Taiping serta galeri khusus yang memaparkan sejarah pembentukan Taiping serta perincian jejak pelancongan terbaharu.

“Ini langkah dan usaha yang baik daripada pelbagai pihak termasuk Majlis Perbandaran Taiping dan Persatuan Warisan Taiping. Jadi, kita berharap ia menjadi lokasi lebih ramai pelancong mendapat informasi,” katanya selepas perasmian menara itu hari ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Warisan Taiping Liew Suet Fun berkata tumpuan mereka ialah meningkatkan kualiti naratif yang perlu diterjemahkan kepada pengunjung.

“Saya percaya aspek yang paling penting ialah kualiti penceritaan. Pengubahsuaian menara ini mengetengahkan warisan semula jadi dan budaya Taiping, menjadikannya tempat ideal berkongsi maklumat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan