AM > BERITA

Jabatan Muzium Catat Hampir 2.5 Juta Pelawat Pada 2025 - Aaron

30/03/2026 07:40 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Jabatan Muzium Malaysia mencatatkan kejayaan memberangsangkan tahun lepas apabila 22 muzium di bawah seliaannya menerima kehadiran hampir 2.5 juta pelawat, melepasi sasaran 2.2 juta orang.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata sebanyak 2,457,051 pelawat diterima pada 2025, termasuk 355,585 pelawat antarabangsa yang memilih muzium sebagai destinasi utama mereka.

Beliau berkata tahun ini akan lebih meriah dengan tiga segmen utama iaitu Citra Nusa @ Muzium, Fiesta Uniti @ Muzium dan Muzium Bersama Komuniti.

"Kementerian Perpaduan Negara komited untuk menghidupkan semula muzium sebagai ruang ilmu yang dinamik, inklusif dan relevan dengan generasi masa kini.

"Usaha ini merangkumi pemodenan pameran, penggunaan teknologi interaktif serta pengisian program berimpak tinggi agar muzium terus menjadi pusat pembelajaran sepanjang hayat,” katanya menerusi platform X hari ini.

Aaron berkata kementerian itu turut memberi penekanan terhadap usaha meremajakan muzium sebagai platform penyatuan masyarakat pelbagai kaum.

"Melalui pendekatan berasaskan komuniti dan kolaborasi strategik, muzium akan terus diperkasa sebagai ruang yang merapatkan jurang, memupuk kefahaman dan menyemai semangat perpaduan nasional. Muzium adalah nadi identiti, perpaduan dan masa depan negara,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan