Oleh Rozainah Abdul Rahim
KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- MyDigital ID disifatkan sebagai instrumen pengesahan identiti (eKYC) terbaik bagi menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun untuk penggunaan media sosial yang dijadualkan pada separuh kedua tahun ini.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata pelaksanaan mekanisme eKYC yang jelas dan berkesan adalah kunci bagi memastikan hasrat kerajaan menjamin keselamatan siber kanak-kanak serta menangani isu akaun palsu dapat dicapai dengan lebih efisien.
Beliau berkata MyDigital ID merupakan teknologi terbaik untuk tujuan itu kerana dibangunkan secara tempatan dengan ciri keselamatan tinggi di bawah seliaan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).
"Penggunaan MyDigital ID adalah tepat kerana ia menggunakan teknologi terkini. Walaupun terdapat kelompok tertentu yang mungkin tidak bersetuju, MCCA menyokong penuh inisiatif ini.
“Ia berupaya melakukan pengesahan identiti dengan lebih efisien dan wajar diintegrasikan bersama syarat pelesenan platform media sosial termasuk Meta dan TikTok,” katanya kepada Bernama.
Siraj berkata kaedah pengesahan identiti yang lebih ketat bukan sahaja menghalang pemalsuan umur oleh kanak-kanak, malah membantu pihak berkuasa menguatkuasakan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) terhadap pemilik akaun palsu secara lebih berkesan.
Menyentuh mengenai had umur 16 tahun untuk akses platform media sosial, beliau berkata inisiatif itu adalah game changer atau pencetus perubahan dalam menjamin keselamatan siber kanak-kanak.
Mengulas langkah Indonesia melarang akses platform digital berisiko tinggi bagi kanak-kanak bawah 16 tahun bermula 28 Mac lepas, beliau menyifatkan Malaysia berada di landasan tepat dengan melakukan kajian menyeluruh sebelum pelaksanaan yang dijangka Julai ini.
Indonesia menjadi negara bukan Barat pertama yang melarang akses kepada platform digital berisiko tinggi bagi kanak-kanak di bawah umur 16 tahun menerusi pelaksanaan peraturan keselamatan digital Dasar Tata Kelola untuk Anak Aman dan Sehat Digital (Tunas).
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar dasar kerajaan itu disokong dengan penglibatan aktif ibu bapa serta pemerkasaan literasi media secara berterusan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
“Maklumat mengenai pelaksanaan itu perlu disalurkan dengan peranan KPM kerana melibatkan pelajar sekolah menengah dan ke bawah, jadi perlu ada mekanisme komunikasi berkesan supaya tidak disalah tafsir dan dibangkang tanpa asas yang mengganggu hasrat murni kerajaan,” katanya.
Pada 7 Mac, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Teo Nie Ching berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti pelbagai kaedah pengesahan umur sebelum pelaksanaan had usia 16 tahun bagi penggunaan media sosial yang dikuatkuasakan pada separuh kedua tahun ini.
Kerajaan menyasarkan setiap platform media sosial melaksanakan eKYC menjelang akhir suku kedua 2026 bagi menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun untuk pembukaan akaun.
Sementara itu, Indonesia menjadi negara bukan Barat pertama yang melarang akses kepada platform digital berisiko tinggi bagi kanak-kanak di bawah umur 16 tahun bermula pada 28 Mac lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial