AM > BERITA

Kekal Di Landasan, Perkukuh Asas Ekonomi Dan Penampan Dasar – Gabenor BNM

31/03/2026 10:10 AM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) – Memperkukuh asas ekonomi dan penampan dasar dalam ketidaktentuan perdagangan global merupakan langkah penting untuk memastikan pertumbuhan berterusan dan seterusnya, menjamin kesejahteraan rakyat, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata peningkatan dalam kemampanan fiskal dan menarik pelaburan berkualiti telah mewujudkan ruang untuk terus melaksanakan pembaharuan yang amat diperlukan dalam perlindungan sosial dan pasaran pekerja. 

“Pembaharuan ini mungkin memerlukan beberapa pelarasan jangka pendek, namun pelarasan ini perlu bagi memastikan pertumbuhan yang lebih inklusif dan memberikan manfaat kepada rakyat, termasuk generasi akan datang,” katanya dalam Laporan Tahunan BNM 2025 yang dikeluarkan di sini hari ini.

Bank pusat mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan berkembang antara empat peratus dan lima peratus pada 2026 berikutan daya tahan domestik Malaysia dan struktur eksport yang pelbagai memberikan asas kukuh untuk mendepani cabaran luaran.

Hala tuju Malaysia ke arah menjadi negara maju berpendapatan tinggi perlu dibina atas landasan kemakmuran bersama. 

“Kita perlu membina ekonomi yang mewujudkan pekerjaan yang bergaji lebih tinggi, menyokong isi rumah dan perniagaan serta kekal berdaya tahan untuk berdekad lamanya,” kata Gabenor.

Abdul Rasheed berkata sektor kewangan kekal berkesan dalam menggerakkan dana antara penyimpan dengan peminjam. 

“Institusi kewangan kekal mempunyai tahap permodalan yang kukuh dan berdaya tahan dari segi operasi, disokong oleh penampan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi dan kualiti aset yang baik. 

“Hal ini memastikan akses pembiayaan berterusan untuk isi rumah dan perniagaan, sekali gus menyokong penggunaan, pelaburan serta sumber pendapatan,” katanya.

Memandang ke depan, katanya dalam dunia yang semakin berpecah-pecah, ASEAN boleh menjadi sumber kekuatan. 

Dalam keadaan ketegangan perdagangan global yang ketara, komitmen bersatu ASEAN untuk memberikan respons yang berhemat dan konstruktif mencerminkan prinsip ini. 

Bagi Malaysia, menjadi sebahagian daripada rantau yang menjunjung kerjasama dan kestabilan merupakan teras penting dalam menghadapi landskap global yang semakin kompleks. 

Sehubungan dengan itu, BNM menerajui usaha untuk memajukan integrasi kewangan dan ekonomi serantau yang lebih bersepadu melalui Trek Kewangan. 

Rangkaian pembayaran serantau terus diperluas, dengan 29 jalinan pembayaran kini beroperasi merentas negara anggota ASEAN. 

“Kini, pelancong yang membuat pembelian atau perniagaan kecil yang menjual produk merentasi sempadan boleh membuat dan menerima pembayaran dengan lebih pantas, selamat dan pada kos yang lebih rendah. 

“Perkembangan ini mengurangkan geseran, memperluas peluang serta menyokong sumber pendapatan komuniti ASEAN,” katanya.

Katanya keupayaan ASEAN untuk memberikan respons secara kolektif terhadap kejutan luaran turut diperkukuh, termasuk melalui penambahbaikan Inisiatif Multilateralisasi Chiang Mai serta beberapa strategi mustahak di bawah Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN. 

Kesemua langkah ini memperkukuh keupayaan ASEAN untuk bertindak bersama terhadap kejutan luaran, sekali gus mewujudkan lapisan daya tahan tambahan bagi menghadapi ketidakpastian global.

“Bagi BNM, keutamaan akan terus tertumpu pada kesiapsiagaan bagi menghadapi cabaran yang mendatang, tanpa mengabaikan keutamaan jangka panjang untuk mempertingkat prospek ekonomi dan memelihara daya tahan negara,” katanya. 

Abdul Ghaffour berkata Jawatankuasa Dasar Monetari akan terus memantau perkembangan dengan rapi dan menilai imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan dan inflasi. 

“BNM juga terus bersedia, seperti yang telah dilakukan sepanjang beberapa episod ketidakpastian yang ketara untuk memastikan pasaran kekal teratur dan menguruskan risiko volatiliti yang berlebihan,” katanya. 

Dengan Pelan Sektor Kewangan 2022–2026 memasuki fasa terakhirnya, pelaksanaan akan dipercepat seiring dengan usaha untuk membangunkan hala tuju seterusnya bagi sektor kewangan Malaysia. 

“BNM akan melaksanakan usaha untuk lebih memudahkan inovasi, termasuk dalam bidang baharu seperti kewangan digital, stablecoin dan adaptasi iklim secara selamat dan bertanggungjawab,” katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan