KUALA NERUS, 31 Mac (Bernama) -- Kekurangan fizikal tidak menghalang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kemunting, dekat sini mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu.
Putri Noor Syahida Mohd Syah Rizal, 18, yang menghidap cerebral palsy antara empat pelajar berkeperluan pendidikan khas di Terengganu yang cemerlang dalam peperiksaan itu selepas memperoleh 1A+, 2A dan 5A-.
Anak tunggal itu berkata kejayaan tersebut berkat pengorbanan ibu bapanya Mohd Syah Rizal Sulong, 48, dan Norlida Mohd Nor, 42, yang bertungkus lumus memastikan dirinya mendapat pendidikan terbaik sejak sekolah rendah.
“Pergerakan saya agak terbatas kerana penyakit dihadapi. Oleh itu setiap hari ayah akan menghantar serta menunggu sehingga tamat kelas untuk membantu menaiki tangga dan sebagainya.
“Ayah tidak dapat bekerja kerana menguruskan persekolahan saya. Pengorbanan ini tidak akan dilupakan sampai bila-bila,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2025 di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) dekat sini hari ini.
Putri Noor Syahida berkata keadaan itu memaksa ibunya bekerja sebagai jurujual kereta bagi membantu menyara keluarga.
Justeru, remaja itu berharap dapat menyambung pelajaran di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Rakit supaya dapat bergelar guru untuk membela nasib keluarga.
“Saya harap dapat melanjutkan pelajaran di IPG Batu Rakit kerana dekat dengan keluarga. Kalau belajar jauh agak sukar kerana masih perlu bantuan bapa untuk bergerak,” katanya.
Sementara itu, calon berkeperluan pendidikan khas Ahmad Ateef Zhofran Abdul Majid Tahir, 18, yang memperoleh 10A berkata kematian bapanya Abdul Majid Tahir Mohamed pada 2024 akibat kanser hampir melunturkan semangatnya untuk belajar.
Bagaimanapun, pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Sultan Zainal Abidin Ladang di Kuala Terengganu itu bangkit semula berkat dorongan insan sekeliling dan enggan menjadikan kecacatan pendengaran dialaminya sejak lahir sebagai penghalang untuk berjaya.
“Saya harap pencapaian yang tidak seberapa ini dapat menjadi inspirasi kepada pelajar istimewa lain untuk terus berjaya.
“Kecacatan bukan halangan. Paling penting kita berusaha, jaga adab dengan ibu bapa, guru dan rakan serta penting menjaga hubungan dengan Allah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial