AM > BERITA

Cadangan Naik, Perluas Subsidi Diesel Kepada Pemain Industri Pertanian Dibawa Ke Kabinet

31/03/2026 06:02 PM

PUTRAJAYA, 31 Mac (Bernama) -- Cadangan menaikkan dan memperluas pemberian subsidi diesel kepada pemain industri pertanian termasuk pesawah, petani dan nelayan akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri esok bagi pertimbangan lanjut.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata cadangan itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pagi tadi sebagai langkah segera untuk mengurangkan tekanan kos operasi sektor pengeluaran makanan negara.

Beliau berkata antara langkah yang dicadangkan ialah memperluas pemberian subsidi diesel melalui sistem kad fleet kepada lebih ramai pemain sektor pertanian, selain meneliti kemungkinan menaikkan kadar subsidi sedia ada.

"Cadangan ini akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri esok untuk diputuskan," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Program Pemerkasaan Industri Ruminan Negara Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) Bersama Pemain Industri, di sini, hari ini.

Selain itu, Mohamad berkata kerajaan juga sedang meneliti langkah-langkah segera bagi menghadapi kemungkinan kenaikan harga baja yang merupakan input penting dalam semua sektor pertanian dan boleh memberi kesan besar kepada penanam padi serta pengusaha sayur.

Mohamad berkata langkah tersebut penting memandangkan sektor pertanian dan perikanan kini berdepan peningkatan kos input termasuk bahan api, baja dan logistik susulan perkembangan geopolitik global.

Beliau turut berkata susulan sekatan eksport oleh China, kerajaan sedang meneliti sumber alternatif bagi import baja dengan beberapa negara lain termasuk Rusia yang telah menawarkan bekalan.

“Perbincangan lanjut akan dilakukan oleh pegawai kementerian bagi menentukan harga dan syarat yang sesuai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Isham Ishak berkata Malaysia ketika ini masih mempunyai bekalan makanan ternakan yang mencukupi kerana import telah dibuat sebelum konflik Asia Barat tercetus.

Bagaimanapun, katanya, bekalan dijangka berkurangan dalam tempoh kira-kira sebulan dan perlu ditambah melalui import baharu.

Beliau berkata sumber makanan ternakan banyak diimport dari negara seperti Argentina dan Brazil dan setakat ini bekalan masih mencukupi, namun faktor utama yang berpotensi memberi kesan kepada harga ialah kos pengangkutan.

Sementara itu Isham berkata projek percubaan tanaman jagung bijian di Cuping, Perlis dan Kota Belud, Sabah yang bertujuan mengurangkan kebergantungan import telah menunjukkan hasil yang baik dan kementerian itu bakal melancarkan program penanaman jagung bijian negara secara besar-besaran di Cuping pada Jun ini.

"Kita bercadang dalam masa empat tahun lagi, kita mempunyai Kadar Sara Diri (SSR) sebanyak 30 peratus jagung bijian bagi menampung makanan ternakan negara," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan