AM > BERITA

FCoEE Terus Komited Perkasa Golongan Asnaf Melalui Program Keusahawanan Digital

31/03/2026 09:42 PM

KANGAR, 31 Mac (Bernama) -- Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) terus komited memperkasakan golongan asnaf melalui pelaksanaan Program Keusahawanan Digital untuk membantu peserta menyesuaikan diri dengan ekonomi moden menerusi pemasaran digital, penjenamaan produk serta penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).

Pengerusi FCoEE Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata program itu menyasarkan 40 peserta terdiri daripada Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih MADANI (PPITM) di bawah FCoEE, usahawan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) serta komuniti peniaga kecil Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis.

“Para peserta mempunyai produk dan kemahiran asas yang baik, namun memerlukan bimbingan strategik untuk berkembang. FCoEE melihat potensi besar dalam kalangan mereka untuk muncul sebagai usahawan berjaya dan lebih berdaya saing,” katanya dalam kenyataan hari ini sempena Majlis Pelancaran Program Keusahawanan Digital Asnaf dan Majlis Seri Aidilfitri FCoEE di Arau semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Penaung Diraja FCoEE dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Berangkat sama Waris Yang Kedua Negeri Perlis Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta puteri-puteri baginda berdua Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Kamarudin berkata FCoEE amat menghargai kerjasama strategik bersama Universiti Malaysia Kelantan khususnya Fakulti Data Sains dan Komputeran yang menyumbang kepakaran akademik serta pengalaman industri bagi memastikan pelaksanaan program itu berjalan secara profesional dan berimpak tinggi.

Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyaksikan pemeteraian persefahaman antara FCoEE bersama Dosz Academy serta ZAHA Bina sebagai usaha memperluas jaringan kerjasama strategik.

Selain itu, Sasterawan Negara China Liu Zhenyun juga hadir pada majlis berkenaan dan mempersembahkan buku berjudul ‘Tawa dan Tangis’ yang akan dihadiahkan kepada semua perpustakaan sekolah di Perlis oleh Pertubuhan Han Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan