AM > BERITA

MCMC Pelawa Penyerahan Draf Pelan Pelaksanaan Jendela 2

01/04/2026 12:08 AM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan pelawaan pertama bagi penyerahan draf pelan di bawah Jalinan Digital Negara Fasa 2 (JENDELA 2), mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur digital serta meningkatkan kesalinghubungan di seluruh negara. 

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelaksanaan Kumpulan 1 itu merangkumi pendekatan bersesuaian (fit-for-purpose), termasuk penyediaan perkhidmatan selular awam bagi 4G dan 5G, penyelesaian WiFi melalui sambungan satelit, serta pelaksanaan Neutral Host Platform buat julung-julung kalinya. 

Menurut MCMC, platform itu membolehkan pengguna mengakses rangkaian WiFi dengan menggunakan pelan data mudah alih sedia ada daripada pengendali rangkaian masing-masing, sekali gus menyokong pengalaman pengguna yang lebih konsisten dan mudah.

“Kumpulan 1 merangkumi 1,000 tapak di seluruh negara, dengan 31.1 peratus di Semenanjung Malaysia, 33.7 peratus di Sarawak dan 35.2 peratus di Sabah.

“Projek ini dijangka bermula seawal suku ketiga 2026, tertakluk kepada proses penilaian dan tadbir urus. Baki 1,700 tapak akan dilaksanakan dalam kumpulan seterusnya, yang akan dimuktamadkan oleh MCMC kelak,” menurut kenyataan itu.

MCMC memaklumkan sejak pelaksanaan JENDELA Fasa 1, kerajaan telah mencapai kemajuan dalam memperluas liputan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan, manakala JENDELA 2 merupakan kesinambungan usaha berkenaan.

Inisiatif itu dirangka untuk merapatkan jurang liputan, meningkatkan prestasi rangkaian serta memperluas akses jalur lebar berkualiti tinggi, khususnya di kawasan luar bandar dan kawasan kurang mendapat perkhidmatan. 

“Inisiatif ini menyokong agenda nasional untuk meluaskan liputan Internet ke 2,700 tapak di seluruh negara dan melibatkan kira-kira 217,000 penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman, khususnya di Sabah dan Sarawak serta memastikan komuniti tersebut terus mendapat perhatian dalam agenda pembangunan negara,” menurut MCMC.

Sehubungan dengan itu, selaras dengan Peraturan 5 Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pemberian Perkhidmatan Sejagat) 2002, MCMC mempelawa pemegang lesen yang layak untuk mengemukakan Pendaftaran Minat dan Draf Pelan Perkhidmatan Sejagat dalam tempoh yang ditetapkan sebagai asas penilaian bagi mengenal pasti pemegang lesen yang sesuai.

MCMC akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan JENDELA 2 berjalan dengan lancar serta penyediaan kesalinghubungan digital berkualiti di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan