Oleh Suraidah Roslan dan Lucia Terey John
KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna dijangka dapat meningkatkan akses kepada kredit secara lebih tersusun dan selamat, khususnya dalam segmen Buy Now Pay Later (BNPL) atau "beli dahulu, bayar kemudian" yang sebelum ini kurang dikawal selia secara menyeluruh.
Pensyarah ekonomi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah Herniza Rozanne Marcus berkata kewujudan rangka kerja pelesenan, pemantauan dan garis panduan yang lebih jelas akan memastikan penyedia kredit bukan bank, tertakluk kepada pematuhan piawaian yang lebih ketat, termasuk dari segi ketelusan caj dan penilaian kelayakan peminjam.
“Dalam jangka pendek, akses kepada kredit mungkin sedikit terhad berikutan keperluan penyedia menyesuaikan operasi dengan peraturan baharu.
“Namun, dalam jangka panjang, langkah ini dijangka meningkatkan keyakinan pengguna dan pelabur, sekali gus menyokong pertumbuhan pasaran kredit bukan bank yang lebih mampan, stabil dan berintegriti,” katanya kepada Bernama.
Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Tahun Kedua 2025 (ST2 2025) hari ini menyatakan penubuhan suruhanjaya berkenaan ialah langkah tepat dan penting dalam melindungi pengguna melalui pengawalan serta penyeliaan penyedia perkhidmatan kredit dan kredit bukan bank.
Menurut laporan itu, walaupun pendedahan terkumpul BNPL kekal kecil, iaitu 0.3 peratus daripada jumlah keseluruhan hutang isi rumah, pertumbuhan pesat segmen berkenaan memerlukan pemantauan rapi.
Hal ini kerana, pada ST2 2025, bilangan dan nilai transaksi BNPL meningkat kepada 140.3 juta transaksi bernilai RM11.9 bilion, berbanding 102.6 juta transaksi bernilai RM9.3 bilion pada ST1 2025.
Herniza berkata pengawalan yang lebih ketat terhadap penyedia BNPL dan kredit bukan bank berpotensi memperlahankan inovasi kewangan digital, khususnya bagi pemain baharu yang bergantung pada model perniagaan fleksibel dan berasaskan teknologi.
“Kos pematuhan yang lebih tinggi, keperluan pelesenan serta proses kawal selia yang ketat boleh menjadi halangan kemasukan dan mengehadkan ruang inovasi, namun pengawalan ini tidak semestinya menghalang jika dilaksanakan secara seimbang,” katanya.
Beliau berkata Malaysia boleh mengamalkan pendekatan kawal selia berkadar, iaitu tahap pengawalan disesuaikan dengan tahap risiko sesuatu produk atau penyedia.
Selain itu, Herniza berkata pemantauan berasaskan risiko serta kerjasama erat antara pengawal selia dengan industri amat penting bagi memastikan inovasi terus berkembang dalam persekitaran yang selamat.
“Pada masa yang sama, penekanan kepada perlindungan pengguna, ketelusan caj dan amalan kredit yang bertanggungjawab penting bagi memastikan perkembangan fintech (teknologi kewangan) mampan dan tidak menimbulkan risiko kewangan jangka panjang.
“Keseimbangan antara inovasi dengan perlindungan inilah yang menjadi kunci kepada pembangunan ekosistem kredit digital yang sihat di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata penubuhan suruhanjaya berkenaan akan memperkemas kawal selia serta menguatkuasakan undang-undang Akta Kredit Pengguna.
“Menerusi suruhanjaya ini, hak pengguna dan penyedia platform akan terpelihara kerana kedua-dua pihak boleh menggunakan ruang undang-undang bagi menyelesaikan sebarang masalah yang berkait dengan kredit pengguna,” katanya.
Dalam menangani bebanan hutang akibat penggunaan BNPL yang tidak terkawal, Mohd Afzanizam berkata program literasi kewangan perlu diperbanyak agar pengguna, terutamanya golongan muda, sentiasa cakna tentang pilihan mereka.
Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) Azlin Othman berpendapat penubuhan suruhanjaya itu tepat pada masanya bagi memastikan industri BNPL berkembang secara lebih tersusun dan bertanggungjawab.
“Suruhanjaya itu bukan sahaja memberikan kejelasan kepada penyedia perkhidmatan dari segi garis panduan dan pematuhan, malah turut meningkatkan keyakinan terhadap keseluruhan ekosistem kredit pengguna.
“Pada masa sama, pengguna akan mendapat perlindungan yang lebih baik melalui ketelusan syarat, kawalan terhadap caj tersembunyi serta amalan pemberian kredit yang lebih berhemat,” katanya.
Azlin berkata suruhanjaya itu juga mampu mengekang risiko pengguna terjebak dalam hutang berlebihan dengan memperketat penilaian kemampuan bayaran balik, selain pemantauan terhadap penggunaan BNPL secara berlapis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial