AM > BERITA

SMK Naka Cipta Sejarah Lahirkan Pelajar Semua A SPM Selepas Hampir 50 Tahun

01/04/2026 04:33 PM

KUALA NERANG, 1 April (Bernama) -- Buat kali pertama dalam tempoh hampir 50 tahun penubuhannya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Naka melakar sejarah tersendiri apabila seorang muridnya mencatat keputusan semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Nur Batrisya Zulaikha Hussin, 18, memperoleh keputusan 7A dan 1A- bagi lapan subjek yang diambil, berbanding 6A seperti yang disasarkan sebelum ini.

“Saya tidak sangka dapat keputusan 8A dalam peperiksaan sebenar kerana sasaran saya hanya sekurang-kurangnya 6A. Saya ulang kaji seperti pelajar lain termasuk bangun seawal 4 pagi.

“Saya juga memanfaatkan media sosial untuk mendapatkan kandungan ilmiah selain menghadiri kelas tambahan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata pencapaian berkenaan bukan sahaja membanggakan pihak sekolah, malah paling bermakna apabila dapat menggembirakan ibu bapanya Noor Aziah Jaafar dan Hussin Othman.

“Saya harap kejayaan ini dapat jadi inspirasi kepada pelajar lain di SMK Naka, khususnya mereka yang akan menduduki SPM tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Naka Mawardi Hamid berkata kejayaan melahirkan pelajar sulung yang memperoleh semua A merupakan hasil kerjasama erat antara guru, ibu bapa, pelajar serta agensi kerajaan yang sentiasa menyokong pembangunan sekolah berkenaan.

“Syukur, akhirnya SMK Naka berjaya melahirkan pelajar yang mendapat semua A sejak penubuhannya. Ini menjadi titik tolak kepada masyarakat luar bandar yang sering berdepan cabaran termasuk kurangnya semangat juang dalam kalangan pelajar.

“Apabila kejayaan ini dicapai, saya yakin lebih banyak kecemerlangan akan dapat dilakar pada masa hadapan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan