AM > BERITA

FELCRA Kekal Relevan, Pacu Keterjaminan Makanan - Ahmad Zahid

01/04/2026 06:19 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) kini dilihat sebagai pembina negara strategik yang kekal relevan khususnya dalam memacu agenda keterjaminan makanan serta kesejahteraan masyarakat luar bandar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"FELCRA bukan sekadar membangunkan tanah, FELCRA membina kehidupan. Daripada tanah yang diusahakan... lahir sumber rezeki, peluang ekonomi dan masa depan yang lebih baik buat masyarakat desa," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid berkata peranan agensi itu terus berkembang, dan beliau yakin FELCRA mampu menjadi peneraju dalam transformasi agroekonomi negara melalui pengalaman serta pendekatan yang sentiasa diperbaharui.

Menzahirkan ucapan bersempena dengan ulang tahun ke-60 FELCRA, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata agensi berkenaan telah melalui perjalanan selama enam dekad yang penuh dengan kisah pengorbanan serta perubahan yang dirasai oleh ribuan keluarga di pedesaan.

Beliau turut mendoakan FELCRA terus memperkasa komuniti luar bandar melalui model pembangunan yang inklusif dan mampan demi manfaat dirasai oleh generasi hari ini serta akan datang.

FELCRA, yang ditubuhkan pada 1966, pada asalnya berfungsi sebagai badan berkanun sebelum dikorporatkan (Felcra Berhad) pada 1997 dengan fokus utama meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar menerusi aktiviti perladangan, pembangunan tanah dan perniagaan berkaitan.

-- BERNAMA  

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan