AM > BERITA

Tawaran Pekerjaan Di Karnival Lindung Kerjaya MYFutureJobs Sempena PMR 2026 Perak

01/04/2026 09:16 PM

IPOH, 1 April (Bernama) -- Orang ramai khususnya yang sedang mencari pekerjaan dipelawa ke Karnival LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs Perak bersempena dengan Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak yang berlangsung dari 3 hingga 5 April ini di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa pelbagai peluang pekerjaan, sesi temu duga terbuka dan perkhidmatan kerjaya menanti pencari kerja di karnival itu.

Antara majikan terlibat ialah Top Glove Corporation Bhd, K.N.L Foundry Sdn Bhd, Sony EMCS (Malaysia) Sdn Bhd, Carsem (M) Sdn Bhd, Coherent Malaysia Sdn Bhd, Kamaya Electric Sdn Bhd, JK Wire Harness Sdn Bhd dan Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (Lunas).

Turut menawarkan peluang ialah Quality Reputation Sdn Bhd, Wei Dat Steel Sdn Bhd, Parkson Corporation Sdn Bhd, Live Blitz Sdn Bhd dan Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton).

Antara jawatan kosong yang ditawarkan ialah operator pengeluaran, juruteknik, penyelia, setiausaha eksekutif, jurutera pengujian produk, perancang eksekutif, juruteknik pembuatan, juruteknik penyelenggaraan, jurutera peralatan, pekerja am, pembantu operasi dan pembantu teknikal.

Turut ditawarkan hos siaran langsung, pereka grafik, kerani dan juruwang, jurukimpal, jurupasang, pengisar atau pencanai, penanda, pemotong, penyembur pasir dan pengecat serta penyelia.

Mereka yang berminat boleh mendaftar di www.myfuturejobs.gov.mycareerfair dan membawa dokumen diperlukan ke karnival itu.

PMR 2026 kembali tahun ini dengan lokasi pertama di Perak, yang menawarkan inisiatif penyampaian perkhidmatan secara langsung serta pengisian bermanfaat kepada masyarakat dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai kementerian peneraju.

Sepanjang tiga hari penganjurannya, PMR 2026 Perak menawarkan pelbagai pengisian menarik merangkumi perkhidmatan kerajaan, inisiatif kesejahteraan rakyat, perkhidmatan kesihatan, Jualan Rahmah dan Jualan Agro MADANI.

Turut dilaksana festival makanan serta jualan usahawan tempatan, perkhidmatan gunting rambut percuma, pengagihan biji benih dan anak pokok, pameran aset pertahanan dan keselamatan serta aktiviti kekeluargaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan program itu Sabtu ini.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan