AM > BERITA

Tuntutan Subsidi Diesel Nelayan Termasuk Kategori Zon C2 Akan Diperincikan - Ahmad Zahid

02/04/2026 05:44 PM

PUTRAJAYA, 2 April (Bernama) -- Kerajaan akan memperincikan tuntutan bantuan subsidi diesel oleh nelayan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) susulan krisis tenaga global, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata perkara itu akan diperincikan mengambil kira lonjakan tanggungan kerajaan terhadap subsidi minyak daripada RM700 juta kepada RM3.5 bilion.

"Ini satu tanggungan yang amat berat. Jadi kita harus rasional dan semua pihak harus menerima hakikat ini bukan disebabkan faktor dalam negara tetapi disebabkan keadaan krisis di Asia Barat," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini hari ini.

Ditanya sama ada nelayan laut dalam kategori Zon C2 turut diberi perhatian, Ahmad Zahid berkata perkara itu akan dibincangkan secara menyeluruh dalam mesyuarat NACCOL, yang dijadualkan hari ini diikuti mesyuarat MTEN pada Selasa minggu depan.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata krisis global tenaga memberi tekanan langsung kepada kos sara hidup rakyat, khususnya 8.1 juta masyarakat luar bandar yang bergantung kepada subsidi bahan api dan rantaian logistik asas untuk meneruskan kehidupan harian.

"Dalam jumlah tersebut, pekebun kecil getah yang menyumbang kira-kira 84.7 peratus daripada pengeluaran getah asli negara merupakan golongan paling terdedah kepada peningkatan kos input dan ketidaktentuan harga komoditi," katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata lebih 224,000 komuniti Orang Asli kini berdepan cabaran apabila kenaikan kos bahan api menjejaskan bekalan air, pengangkutan pelajar, perkhidmatan kesihatan serta penyaluran bantuan asas ke kawasan pedalaman.

"Jika gangguan berlarutan hingga Mei atau Jun, tekanan akan beralih daripada sekadar kos yang lebih tinggi kepada tekanan aliran tunai sebenar dalam komuniti luar bandar serta kemungkinan keperluan penambahan program bantuan oleh agensi kerajaan.

"Krisis ini bukan bersifat untuk menakut-nakutkan, tetapi untuk dihadapi dengan tindakan yang efektif dan berkesan," katanya.

Beliau berkata kerajaan telah bertindak secara proaktif melalui langkah mitigasi, termasuk memastikan kesinambungan subsidi, kestabilan harga serta intervensi bersasar bagi melindungi rakyat.

Justeru, beliau berkata tanggungjawab KKDW ialah memastikan masyarakat luar bandar terus mampu bertahan daripada tempias krisis global ini.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan