AM > BERITA

14 Pegawai Kementerian Komunikasi Terima Pengiktirafan Professional Trainers HRD Corp

02/04/2026 04:40 PM

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Sebanyak 14 pegawai dari beberapa agensi di bawah Kementerian Komunikasi diberi pengiktirafan Professional Trainers HRD Corp selepas berjaya menamatkan kursus Train The Trainer (TTT) yang pertama pada November lepas.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah berkata pengiktirafan itu merupakan satu perakuan kompetensi profesional di peringkat industri kepada kesemua pegawai berkenaan untuk memperkukuh pembangunan modal insan selari dengan transformasi digital.

"Semua profesional trainers yang diraikan pada hari ini, teruskan menjadi ejen perubahan. Gunakan ilmu dan kemahiran anda untuk memimpin, memperkukuh budaya kompetensi dan menyemarakkan pembelajaran berterusan dalam organisasi masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Pengiktirafan Professional Trainers Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) 2026 yang turut dihadiri Pengarah IPPTAR Datuk Roslan Ariffin dan Ketua Pengarah Penyiaran Ashwad Ismail.

Abdul Halim berkata pengiktirafan kepada pegawai Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) adalah simbol komitmen, dedikasi serta kesungguhan dalam mempertingkatkan tahap profesionalisme.

Pada sidang media, beliau berkata sebanyak 15 peserta dijangka menyertai kohort kedua program berkenaan pada tahun ini.

"Latihan ini dapat meningkatkan kredibiliti dalam perkhidmatan khususnya industri penyiaran dan penerangan malah pengiktirafan HRD Corp juga memberi keyakinan daripada masyarakat luar kerana memperoleh akreditasi daripada pihak berautoriti," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Halim berkata Kementerian Komunikasi akan memulakan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bermula 15 April sebagai menyahut pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

"Kita menyahut keputusan oleh kerajaan untuk menghadapi krisis tenaga global yang kita alami. Kementerian Komunikasi akan melaksanakan sepertimana diarahkan oleh kerajaan," katanya.

  -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan